Jualan kuih-muih laris menjelang raya

Jualan kuih-muih laris menjelang raya

Oleh Pg Fairol RMF & Salawati Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Julai – Bulan Ramadan bakal meninggalkan kita dalam masa beberapa hari sahaja lagi, umat Islam di negara ini semakin sibuk dalam membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri terutamanya mendapatkan juadah untuk disajikan kepada tetamu.

Seawal minggu kedua Ramadan, gedung-gedung perniagaan, kedai runcit dan pasar-pasar raya para pengusaha di gerai-gerai dan ekspo telah mula menjual kuih-muih raya dan semakin laris di peng-hujung Ramadan ini.

Tinjauan pada Jualan Kuih-Muih Hari Raya di Pusat Belia, Bandar Seri Begawan, hari ini, menyaksikan ramai orang membeli kuih-muih raya pada hari-hari terakhir bulan Ramadan ini. Lepasan Kelas Urusan Rumah Tangga, Pusat Belia, Dayang Salmiah binti Haji Tarang, yang dilantik sebagai pengurus jualan berkenaan memberitahu media, pengunjung yang datang bukan sahaja warga tempatan malahan juga dari luar negara.

“Syukur Alhamdulillah, sambutan orang ramai sangat menggalakkan dan kini kuih-kuih dan biskut-biskut raya semakin bertambah dengan bermacam-macam aneka corak, warna dan rasa. Ada yang menarik lagi, kuih-muih yang kami sediakan kesemua segar, ada yang juga habis dalam masa lima minit selepas menyimpan ke meja jualan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dayang Salmiah menyatakan bahawa kuih-kuih raya dijual pada harga yang berpatutan dan murah berbanding di kedai-kedai di negara ini.

Pelanggan memilih membeli kuih-muih yang dijual di Pusat Belia, Bandar Seri Begawan.
Pelanggan memilih membeli kuih-muih yang dijual di Pusat Belia, Bandar Seri Begawan.
Dayang Salmiah semasa ditemu bual Media Permata.
Dayang Salmiah semasa ditemu bual Media Permata.
Dayang Siti Radiah.
Dayang Siti Radiah.

“Pada tahun ini, kuih menjadi tarikan ialah ‘kek tapak kuda’ walau bagaimanapun, seperti biasa masih mengekalkan kuih-kuih raya pada tahun lepas seperti Kek Batik Kuih Mor dan juga menambah kuih-kuih baru seperti ‘Kek Velvet’, ‘Kek Roll Durian’ dan sebagainya.”

Dengan adanya jualan ini, katanya, pekerja jualan yang terdiri daripada anak-anak kepada ahli Kelab Urusan Rumah Tangga dapat menimba pengalaman dan boleh berkomunikasi serta menggunakan pendidikan mereka sebagai pengalaman dalam pekerjaan.

Di sini juga mereka dapat menerima hasil kerja keras mereka untuk mendapatkan wang sendiri memberi motivasi untuk lebih berdikari, ujarnya, sambil menambah, menjual kuih-kuih raya tersebut adalah untuk menambah pendapatan dan rezeki di bulan Ramadan yang mulia dan penuh keberkatan ini.

Sementara itu, salah seorang ahli kelab Urusan Rumah Tangga, Pusat Belia yang ditemui, Dayang Siti Radiah binti Abdurrahim turut mengatakan bahawa sambutan orang ramai terhadap jualan berkenaan sangat menggalakkan.

Menurutnya, Jualan Kuih-Muih Hari Raya anjuran Jabatan Belia dan Sukan (JBS) yang sudah berlangsung sejak dua minggu lepas menawarkan pelbagai jenis kuih-muih pada harga yang berpatutan.

Walaupun pada masa ini ramai yang telah pandai membuat kuih-muih tapi jualan di pusat ini tidak terjejas kerana pelanggan yang sudah biasa menempah kuih-muih raya dari dulu lagi masih terus mendapatkan tempahan mereka di sini, ujarnya.

Bukan setakat itu, ahli kelab ini juga turut mengehadkan penjualan mereka di pusat berkenaan disebabkan kebanyakan ahli turut menerima tempahan dari luar.

Jualan kuih-muih di Pusat Belia berkenaan yang dibuka dari pukul 10 pagi hingga 10 malam akan diadakan sehingga malam terakhir bulan Ramadan.