Jualan lelong amal

Jualan lelong amal

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 April – Dengan objektif untuk mengumpul wang bagi dua badan amal tempatan, Borneo Insider’s Guide (BiG) dan eBunda.org di bawah BAG Networks telah berganding bahu mengadakan jualan lelong amal yang berlangsung di Mutiara Ballroom, Hotel Radisson, di ibu negara, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi memberi sokongan kepada majlis itu ialah Peguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Hayati binti Pehin Orang Kaya Shahbandar Dato Seri Paduka Haji Mohd Salleh.

Hasil daripada acara Hope & Grow Charity Auction and High Tea itu, yang bertujuan bagi menolong masyarakat yang kurang bernasib baik di Negara Brunei Darussalam, akan didermakan kepada Pusat Annur Harapan dan Persatuan Outreach dan Latihan Komuniti (SCOT).

Penerbit BiG, Wan Zainal Shazali dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan, acara berkenaan diadakan bagi dua pertubuhan amal yang berusaha untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik dalam masyarakat.

Menurut beliau, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mempunyai wawasan untuk membasmi kemiskinan di negara ini menjelang 2035, dan dua buah pertubuhan amal berkenaan telah menyahut seruan itu untuk menyediakan masa depan yang lebih baik bagi mereka yang kurang bernasib baik.

Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Hayati menerima cenderahati daripada Wan Zainal Sazali sambil disaksikan oleh Dayang Haslina.
Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Hayati menerima cenderahati daripada Wan Zainal Sazali sambil disaksikan oleh Dayang Haslina.
Dayang Haslina bergambar ramai bersama jemputan yang hadir pada majlis itu.
Dayang Haslina bergambar ramai bersama jemputan yang hadir pada majlis itu.

Beliau berkata, misi SCOT adalah untuk membasmi kemiskinan di Brunei, yang mana isu ini telah wujud dalam kalangan masyarakat di negara ini tetapi tidak selalunya kelihatan.

Manakala itu, Pusat Annur Harapan pula merupakan pusat khidmat masyarakat korporat yang ditubuhkan untuk menjaga mereka yang kurang bernasib baik dan membantu sesetengah daripada mereka mendapatkan kemahiran berguna yang akhirnya membolehkan mereka berdikari.

Oleh yang demikian, Wan Zainal melahirkan harapan agar acara lelongan berkenaan akan dapat mengumpul wang yang akan membantu kedua-dua badan amal berkenaan untuk meneruskan kerja baik mereka.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif BAG Networks, Dayang Haslina binti Haji Mohd Taib pula berkata, eBunda ditubuhkan pada 2010 sebagai inisiatif untuk menggalakkan pembelajaran, pembangunan dan keusahawanan berterusan para wanita.

Barangan lelong yang dipamerkan sebelum acara bermula.
Barangan lelong yang dipamerkan sebelum acara bermula.

Menerusi ‘Hope & Grow’, ujarnya, mereka mahu membantu dua pertubuhan amal berkenaan, terutamanya dalam menyokong projek-projek mereka yang memfokuskan kepada membantu wanita-wanita dan keluarga kurang berkemampuan, mengeluarkan mereka daripada belenggu kemiskinan.

Pada acara itu, ketika menikmati jamuan minum petang, para jemputan telah dijemput untuk bergerak di sekitar dewan bagi melihat barang-barang lelongan yang dipamerkan dan mencatat barangan yang menarik minat mereka supaya mereka boleh membidanya semasa lelongan langsung diadakan.

Antara barang-barang yang dilelong termasuk barang fesyen mewah yang terpakai dan baru, aksesori, lukisan, perkakas meja, dan barang hiasan rumah yang telah didermakan.

Orang ramai juga boleh menyertai lelongan dalam talian di laman sesawang www.borneoinsidersguide.com bermula 22 April ini yang akan berlangsung selama dua minggu, di mana pelbagai jenis barangan akan ditawarkan.

Selain itu, orang ramai juga boleh mengikuti akaun Instagram BiG (@bigborneo) dan BAG Networks (@bag_bn) bagi kemas kini mengenai lelongan dalam talian dan bagaimana untuk membida barangan yang diinginkan.

ARTIKEL YANG SAMA