Jualan lembap, kurang tarikan

Jualan lembap, kurang tarikan

Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 3 Jun – Jualan lembap dan kurangnya pengunjung semasa Pesta Belait yang sepatutnya berakhir Ahad ini terutamanya di Cold Zone, mengakibatkan segelintir peniaga rugi dan tidak meneruskan perniagaan mereka di sana, namun bagi menebus kerugian itu, mereka akan meneruskan perniagaan bermula 6 Jun hingga 6 Julai depan di tempat yang sama berhadapan Taman Menara Cendera Kenangan di sini.

Menurut Pengurus Pembangunan Bisnes, Syarikat RYS, Foo Kian Ming, seramai 16 orang pengusaha petak perniagaan yang sama akan menyambung perniagaan di zon berkenan dan dikenakan bayaran $300 setiap seorang bagi pembayaran bil elektrik yang dipersetujui peniaga-peniaga itu.

“Saya hanya membantu peniaga kecil dan sederhana (PKS) di negara ini untuk menyewa khemah kami di zon berhawa dingin ini bagi menebus kembali kerugian mereka sebelum ini dan berharap perniagaan sempena Ramadan dan Aidilfitri bakal menguntungkan mereka, tambahan lagi ada gerai Ramadan disediakan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria berhampiran,” katanya.

Kawasan Cold Zone merupakan salah satu zon jualan sepanjang Pesta Belait dilengkapi dengan alat penghawa dingin di samping pengawal keselamatan bagi memastikan jualan penyewa di sana selamat dan disertai 18 penyewa PKS di sini. Peniaga di zon itu baru-baru ini menghubungi Media Permata mendakwa perniagaan mereka di sana ekoran sambutan kurang menggalakkan ke zon itu dalam Pesta Belait telah mencatatkan kerugian dan setelah zon makanan ditutup pada 22 Mei lalu, keadaan sunyi sepi sehingga ada yang beranggapan Pesta Belait sudah tamat.

Beberapa orang peniaga mendakwa hanya minggu pertama mereka meraih sedikit untung namun pada minggu-minggu seterusnya, mereka mengalami kerugian kerana barangan mereka tidak terjual.

Antara peniaga-peniaga yang menyewa di petak Cold Zone semasa Pesta Belait, merupakan salah sebuah kawasan jualan yang disediakan dengan kemudahan penghawa dingin dan pengawal keselamatan.
Antara peniaga-peniaga yang menyewa di petak Cold Zone semasa Pesta Belait, merupakan salah sebuah kawasan jualan yang disediakan dengan kemudahan penghawa dingin dan pengawal keselamatan.

Salah seorang peniaga, Awang Khairul Azmi bin Haji Kula dari MMK Collection yang menyewakan petak kiub di zon berkenan, mendakwa turut mengalami kerugian kerana makanan yang dijual dalam kotaknya hanya dibeli oleh mereka yang bekerja di zon tersebut, bukannya oleh pengunjung pesta.

Manakala penjual baju-baju sukan, Awang Abdul Rahman bin Mohd Tahir mendakwa pada minggu pertama sahaja pendapatannya sudah menurun kerana tiada tarikan di zon berkenaan walaupun sebelumnya mereka dijanjikan banyak aktiviti setiap minggu bagi memeriahkan kawasan itu, tetapi apa yang dijanjikan tidak ditepati.

Sebahagian lagi peniaga dapat menerima keadaan itu kerana mereka menganggap ia adalah satu risiko perniagaan, ada masa naik, ada masa turun bergantung kepada lokasi dan kunjungan orang ramai.

Pesta Belait dianjurkan oleh Majlis Perundingan Kampung Mumong dengan kerjasama Syarikat Mizwan dan Syarikat RYS Entertainment dihasratkan menjadi pelantar menjual produk dan perkhidmatan pengusaha-pengusaha kecil dan sederhana.

Pengarah Syarikat Mizwan semasa ditemui memberitahu, pengunjung hanya datang ke kawasan itu untuk menyaksikan aktiviti yang diadakan namun tidak memasuki kawasan perniagaan Cold Zone.

Menurutnya, kurangnya aktiviti bukanlah isu utama namun perniagaan yang diketengahkan dan harga yang mahal mungkin penyebab pengunjung tidak banyak membeli barangan di sana.

Manakala ahli Majlis Mesyuarat Negara yang juga Ketua Kampung Mumong, Yang Berhormat Haji Mohd Yusof bin Dulamin semasa ditemui di kediaman beliau pula berkata ada sebahagian daripada aktiviti yang dijanjikan tidak dapat diteruskan kerana di saat-saat akhir mereka menarik diri, selain terdapat juga aktiviti yang tidak digalakkan oleh pihak berkuasa, bagi menghormati kalendar Islam pada bulan Rejab dan Syaaban.

 

ARTIKEL YANG SAMA