Jualan merosot, saham Alibaba terjejas teruk

Jualan merosot, saham Alibaba terjejas teruk

NEW YORK, 13 Ogos – Syarikat Internet China Alibaba menyaksikan sahamnya terjejas teruk semalam apabila laporan suku tahun menunjukkan pertumbuhan jualan merosot.

Keuntungan pada suku yang berakhir 30 Jun bertambah dua kali ganda kepada $4.97 bilion terutamanya disebabkan pemerolehan sebanyak $3.9 bilion daripada jualan sahamnya dalam unit filem Alibaba Pictures.

Namun saham Alibaba merosot lebih lima peratus untuk ditutup di New York pada harga $73.38 disebabkan kekecewaan mengenai pertumbuhan pendapatan.

Syarikat berkata pendapatan, yang tidak termasuk bekas pemerolehan, meningkat 28 peratus berbanding setahun lalu kepada AS$3.27 bilion, di bawah jangkaan penganalisis sebanyak AS$3.39 bilion.

“Laporan itu sendiri menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan dalam kebanyakan metrik syarikat, namun masalah yang dihadapi oleh pelabur adalah pertumbuhan masih tidak memenuhi jangkaan,” kata penganalisis di Briefing.com.

“Masalah tambahan untuk Alibaba adalah masalah ekonomi makro, dan lebih-lebih lagi kemelesetan yang berlaku di China. Alibaba suda tentunya berusaha untuk mengembang perniagaannya di dunia, tetapi pengguna China yang menjana perniagaannya.”

Penganalisis Cantor Fitzgerald Youssef Squali berkata dalam satu nota penyelidikan bahawa Alibaba mungkin “terus menguasai pasaran e-dagangan China untuk tahun-tahun akan datang, tetapi kami juga percaya ramalan pertumbuhan dan margin dalam jangka pendek telah merosot berdasarkan latar belakang makro di China.” – AFP

ARTIKEL YANG SAMA