Jualan RM19.52 juta pada HOFEX 2015

Jualan RM19.52 juta pada HOFEX 2015

KUALA LUMPUR, 2 Jun (Bernama) – Pengeksport Malaysia menjana jualan bernilai RM19.52 juta menerusi 207 mesyuarat perniagaan yang atur sempena Ekspo Makanan Hong Kong (HOFEX) 2015, bulan lepas.

Delegasi Malaysia ke ekspo tiga hari bermula 6 Mei itu, diwakili 12 syarikat tempatan, termasuk Fikrisz (M) Sdn Bhd, Top Fruits Sdn Bhd, Agro Jerneh Sdn Bhd dad Lai Hin Trading.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dalam satu kenyataan hari ini berkata produk halal Malaysia yang diketengahkan sempena HOFEX terdiri daripada biskut, produk koko, hidangan sedia dimakan, sos dan pes, minuman, ayam itik dan daging, pembungkusan plastik selain perasa, warna dan haruman.

Acara dwitahunan itu menjadi platform untuk peserta mengenal pasti, membeli dan membincangkan trend terkini industri makanan dan hospitaliti serantau dan dunia.

Tahun lepas, Hong Kong merupakan destinasi eksport produk halal ke-15 terbesar Malaysia, dengan eksport bernilai RM639.88 juta atau 13.73 peratus lebih tinggi berbanding 2013 (RM562.62 juta).

ARTIKEL YANG SAMA