Jualan runcit China Mei lembab

Jualan runcit China Mei lembab

BEIJING, 13 Jun (Bernama) – Jualan runcit barangan pengguna China meningkat sebanyak 10 peratus dari tahun ke tahun, turun daripada 10.1 peratus yang dicatatkan pada April lepas,  menurut satu laporan oleh agensi berita Xinhua.

Untuk tempoh lima bulan pertama, jualan runcit menokok sebanyak 10.2 peratus dari tahun ke tahun, laporan itu memetik Biro Statistik Nasional (NBS) China.

Laporan itu menyatakan, pengguna bandar mewakili bahagian terbesar kenaikan walaupun perbelanjaan pengguna luar bandar menunjukkan kadar peningkatan yang lebih cepat.

Jualan dalam talian untuk tempoh lima bulan pertama bertambah sebanyak 27.7 peratus.

Katanya, jualan runcit telah menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi China memandangkan ia sedang beralih daripada ekonomi yang berasaskan eksport kepada ekonomi berasaskan kepenggunaan.

Gambar yang diambil pada 8 Jun lalu menunjukkan seorang pekerja ketika membaiki permukaan jalan di pelabuhan kontena di Qingdao di wilayah Shandong di timur China. Eksport dan Import China menguncup sekali lagi pada Mei dalam tanda permintaan dalam negeri yang lemah secara keseluruhan. – AP
Gambar yang diambil pada 8 Jun lalu menunjukkan seorang pekerja ketika membaiki permukaan jalan di pelabuhan kontena di Qingdao di wilayah Shandong di timur China. Eksport dan Import China menguncup sekali lagi pada Mei dalam tanda permintaan dalam negeri yang lemah secara keseluruhan. – AP

Sementara itu, NBS juga mengumumkan data pengeluaran industri China yang merekodkan kenaikan sebanyak enam peratus dari tahun ke tahun pada bulan Mei, tidak berubah sejak April lepas.

Bagaimanapun, kadar peningkatan tersebut adalah lebih rendah berbanding 6.8 peratus yang dicatatkan pada Mac dan 6.1 peratus yang dicapai pada bulan yang sama pada tahun lepas.

Pengeluaran industri dengan tambahan nilai, salah satu petunjuk utama untuk pertumbuhan ekonomi, menokok sebanyak 0.45 peratus pada Mei dari bulan April.

Xinhua melaporkan bahawa dalam tempoh lima bulan pertama, pengeluaran industri telah berkembang sebanyak 5.9 peratus dari tahun sebelumnya, naik daripada 5.8 peratus yang didaftar dalam tempoh Januari-April.

Pengeluaran industri dengan tambahan nilai itu mengukur hasil pengeluaran syarikat-syarikat China yang memiliki pendapatan tahunan melebihi 20 juta yuan (kira-kira US$3 juta).

ARTIKEL YANG SAMA