Juara EPL tumbang

Juara EPL tumbang

WEST BROMWICH, 19 Mei – Chelsea mengalami kekalahan pertama dalam 19 perlawanan ketika juara Liga Perdana itu tewas 3-0 di West Bromwich Albion berikutan penyingkiran Cesc Fabregas semalam.

Saido Berahino memberikan pendahuluan kepada tuan rumah lebih awal di Hawthorns sebelum midfield Chelsea, Fabregas diarah meninggalkan padang lewat separuh masa pertama kerana menyepak bola mengenai kepala Chris Brunt apabila perlawanan dihentikan.

West Brom mendapatkan kelebihan dengan sepakan Berahino awal separuh masa kedua sebelum Brunt mendapatkan gol ketiga ketika pasukan Jose Mourinho mengalami kekalahan pertama liga musim ini sejak Hari Tahun Baru.

Walaupun gelaran itu telah diselamatkan dua minggu lalu, Chelsea masih menurunkan pasukan kuat dengan penyerang Sepanyol, Diego Costa kembali daripada kecederaan selepas ‘merayu’ kepada Mourinho agar diturunkan, menurut jurulatih dari Portugal itu.

Pertahanan Chelsea, John Terry (tiga kiri) membantah layangan kad merah pengadil Mike Jones kepada Cesc Fabregas (dua kiri) di The Hawthorns, West Bromwich, semalam. - AFP
Pertahanan Chelsea, John Terry (tiga kiri) membantah layangan kad merah pengadil Mike Jones kepada Cesc Fabregas (dua kiri) di The Hawthorns, West Bromwich, semalam. – AFP

Dengan kedua-dua pasukan masih bersaing, ada persekitaran yang menarik di Hawthorns ketika tuan rumah memberikan kawalan kehormat tradisi bagi juara itu.

Pasukan tuan rumah yang pertama memecah kebuntuan dengan Callum McManaman, yang beraksi bagi Albion, menyaksikan rembatannya melantun keluar setelah menerima hantaran dari Craig Dawson.

Dan West Brom di depan pada minit kesembilan ketika penyerang England Bawah-21, Berahino menamatkan kemarau jaringan dalam sembilan perlawanan dengan menyudahkan rembatan melencong dari luar kawasan penalti selepas menerima hantaran Joleon Lescott.

Nemanja Matic dari Chelsea memberikan respons dengan melepaskan rembatan jarak jauh yang tersasar dari tiang gol, tetapi West Brom hampir menjaringkan gol kedua apabila Dawson memecah pertahanan pasukan pelawat sebelum menyaksikan rembatannya tersasar. – AFP