Juara F1 paling muda

Juara F1 paling muda

BARCELONA, 19 Mei (AFP) – Max Verstappen mencatat masa terpantas pada sesi latihan di Barcelona awal pagi tadi – tiga hari selepas muncul selaku pelumba termuda yang memenangi perlumbaan Formula Satu bersama pasukan Red Bull.

Verstappen, yang menang di Grand Prix Sepanyol pada hari Ahad, telah dikuasakan oleh enjin baru Red Bull yang boleh digunakan buat kali pertama di dalam Monaco atau di Kanada.

Pemandu berusia 18 tahun dari Belanda itu melengkapkan 118 pusingan di Litar Catalunya dan menamatkan sesi berkenaan dengan 0.739 saat lebih pantas daripada pemandu simpanan McLaren dari Belgium, Stoffel Vandoorne.

McLaren Stoffel Vandoorne berada di kedua terpantas dengan Pascal Wehrlein Jerman pemandu Mercedes bagi tempat ketiga.

“Agak baik selepas kembali memandu jentera hari ini,” kata Verstappen.

Verstappen muncul selaku pelumba termuda yang memenangi perlumbaan Formula Satu bersama Pasukan Red Bull. – AFP
Verstappen muncul selaku pelumba termuda yang memenangi perlumbaan Formula Satu bersama Pasukan Red Bull. – AFP

“Jentera berada dalam keadaan baik, sangat menyeronokkan dan kami mencapai apa yang dikehendaki. Kami tidak berdepan masalah dan jentera mampu beraksi di sepanjang hari,” katanya.

“Bagi saya secara individu, adalah amat bagus untuk mendapat peluang bagi lebih selesa dengan jentera. Saya mampu mencuba beberapa perkara baharu dan cara untuk meningkatkan lagi prestasi saya.

“Saya banyak belajar mengenai RB12 hari ini, yang mana adalah sangat positif.”

Pelumba remaja sensasi Red Bull itu sebelum ini berjaya memenangi perlumbaan Formula Satu (F1) pertamanya selepas mengungguli Grand Prix Sepanyol yang dipenuhi drama, beberapa hari yang lalu.

Pelumba kelahiran Belanda berusia 18 tahun yang memulakan perlumbaan di petak keempat di Litar Catalunya itu pada perlumbaan yang lalu itu menggunakan sebaiknya insiden yang membabitkan dua pelumba Mercedes AMG PETRONAS, Lewis Hamilton dan Nico Rosberg seawal pusingan pertama.

Lebih mengagumkan pada perlumbaan tersebut, Verstappen berjaya mengawal ketenangannya sekalipun disaing sengit dua juara dunia dari Ferrari, Kimi Raikkonen dan Sebastien Vettel untuk pertama melepasi garisan perlumbaan dengan catatan 1 jam 41 minit 40.017 saat.

Kemenangan menyaksikan Verstappen kini memegang rekod pelumba termuda memenangi perlumbaan F1 menggantikan Vettel.

Dianggap sebagai permata berharga F1, Verstappen membuktikan dia mempunyai kualiti untuk bergelar juara dunia namun kemenangannya di Catalunya turut disebabkan strategi sempurna Red Bull.

Rakan sepasukan Verstappen, Daniel Ricciardo dalam pada itu terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan di tempat keempat, ketinggalan 43.9 saat di belakang pemenang.

“Ia menakjubkan, sukar untuk saya mempercayainya,” kata bapa Verstappen, Jos yang juga bekas pelumba F1.

Pada perlumbaan tersebut, pelumba Williams, Valtteri Bottas menamatkan perlumbaan di tempat kelima diikuti pelumba Toro Rosso, Carlos Sainz, Sergio Perez (Force India), Felipe Massa (Williams), Jenson Button (McLaren) dan Daniil Kvyat (Toro Rosso) melengkapkan kedudukan 10 terbaik.

ARTIKEL YANG SAMA