Juara menembak Olimpik ditahan

Juara menembak Olimpik ditahan

MELBOURNE, 23 Mei (Agensi) – Juara menembak dua kali Olimpik, Michael Diamond ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk dan didakwa dengan kesalahan senjata api, kata Jawatankuasa Olimpik Australia hari ini, yang membahayakan peluangnya bagi bersaing dalam Olimpik ketujuhnya yang akan diadakan di Rio.

Polis New South Wales berkata mereka telah mendakwa lelaki berusia 44 tahun itu dengan “memandu dalam keadaan mabuk, tidak menyimpan senjata api dalam keadaan selamat dan memegang atau menggunakan senjata api ketika berada dalam pengaruh alkohol.”

Lesen memandu dan senjata apinya digantung dan dia diberikan jaminan untuk muncul di mahkamah pada 7 Jun depan, kata polis dalam kenyataan, yang menambah bahawa dia terlibat dalam perbalahan domestik bersama keluarganya sebelum penahanannya.

Polis berkata senapang patah dengan 150 amunisi ditemui dalam keretanya dan analisis pernafasan kemudian menunjukkan dia melanggar tiga kali ganda dari had alkohol dalam darah dari yang dibenarkan.

Jurucakap AOC mengesahkan Diamond didakwa bagi kesalahan–kesalahan tersebut.

Media setempat melaporkan bahawa Diamond enggan untuk membuat ujian breahalyser selepas dihentikan oleh polis lewat Sabtu lalu berhampiran rumah abangnya di pesisir ke selatan Sydney.

Diamond memenangi pingat emas pada Olimpik Atlanta pada 1996, mempertahankan gelarannya di bandar kediamannya Sydney empat tahun kemudian dan berharap untuk menjadi warga Australia kedua untuk bersaing pada Olimpik ketujuh di Rio, yang menyamai rekod catatan penunggang kuda, Andrew Hoy.

Chef de mission pasukan Olimpik Australia, Kitty Chiller berkata pencalonan Diamond bagi Rio adalah terserah kepada pertubuhan kebangsaan sukan, Shooting Australia (SA), tetapi menambah AOC masih boleh menolaknya.