Judi: 5 kakitangan kerajaan didenda

Judi: 5 kakitangan kerajaan didenda

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Mei – Gara-gara bermain judi ‘Sap Sam Cheong’, lima kakitangan kerajaan dijatuhkan hukuman denda $500 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret, semalam, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan berjudi sewaktu kerja.

Pemangku Majistret Kanan Azrimah binti Haji Abdul Rahman juga mengarahkan Maideh bin Madon, Suriantoo bin Salleh, Jaineh bin Tapa, Redzuan bin Sabtu dan Saga bin Gadung untuk dipenjara selama dua minggu jika gagal membayar denda itu.

“Kamu sebagai kakitangan kerajaan sepatutnya menunjukkan contoh yang terbaik dan bukannya melibatkan diri dalam aktiviti perjudian,” kata Pemangku Majistret Kanan.

Kelima-lima tertuduh yang bekerja di Jabatan Kerja Raya Tutong didakwa terlibat dalam aktiviti perjudian pada petang 2 Ogos 2010 di Kampung Bukit Beruang, Tutong.

Kesemua tertuduh didapati sedang bermain Sap Sam Cheong menggunakan daun terup bersama wang berjumlah $16 ketika ditangkap oleh anggota polis.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Sharon Yeo.