Judi: Dua lelaki tempatan didenda

Judi: Dua lelaki tempatan didenda

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 April – Dua lelaki tempatan dijatuhi hukuman denda setelah mengaku bersalah terhadap pertuduhan judi di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Awang Jufeeri bin Awang Haji Saidin, 50, dikenakan denda $500 oleh Majistret Awangku Shahyzul Khairuddien bin Pengiran Abdul Rahman atau berdepan sebulan penjara jika gagal membayar denda.

Majistret Awangku Shahyzul Khairuddien juga membenarkan defendan untuk membayar secara ansuran $50 sebulan sehingga Mac 2016.

Sementara itu, Mohammad Shukren bin Haji Kalong, 35, dikenakan denda $600 yang perlu dibayar dalam tempoh sebulan, dan jika gagal, akan berdepan dengan hukuman penjara selama sebulan.

Timbalan Pendakwa Raya, Sharon Yeo memberitahu mahkamah bahawa kedua-dua defendan ditangkap pada 25 Mei 2010 kira-kira jam 12:23 tengah malam dalam serbuan yang dilakukan oleh anggota polis di Bangunan Jing Chew, Gadong.

Dalam serbuan itu, polis menemui sebuah meja perjudian, kain katam-katam, satu tin mengandungi tiga dadu dan empat daun terup, serta beg Adidas yang mengandungi tiga dadu.

Anggota polis turut menemui wang tunai berjumlah $16 yang tersimpan dalam poket belakang kanan seluar Awang Jufeeri manakala Mohammad Shukren didapati memiliki wang $500 dalam poket depan kiri seluar dan $20.60 di poket depan kanan.

Timbalan Pendakwa Raya juga memohon kepada mahkamah untuk kesemua wang yang dimiliki oleh kedua-duanya dirampas.

ARTIKEL YANG SAMA