Judi: Kakitangan awam antara 9 yang diberkas

Judi: Kakitangan awam antara 9 yang diberkas

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Jan – Kakitangan awam adalah antara sembilan orang warga tempatan yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian berikutan operasi bersepadu tengah malam tadi.

Pemangku Ketua Unit Perhubungan Awam, Pasukan Polis Diraja Brunei, ASP Haji Mohamad Noor bin Haji Abd Rahman berkata, dalam serbuan ke atas sebuah rumah yang disyaki dijadikan tempat perjudian di Kampung Penanjong, Daerah Tutong pada jam 12:07 tengah malam itu, pihak polis turut merampas perkakasan yang digunakan dalam perjudian ketam-ketam termasuk meja, kain ‘ketam’ dan dadu-dadu.

Di samping itu wang tunai yang digunakan dalam perjudian itu juga dirampas sebagai bukti, katanya dalam satu kenyataan kepada Media Permata.

Semua yang ditahan kini sedang disiasat di bawah Seksyen 6(1), Penggal 28, Akta Rumah Judi Terbuka, yang membawa hukuman maksimum denda $10,000 dan penjara enam bulan.

Anggota polis semasa membuat serbuan ke atas sebuah rumah yang disyaki dijadikan tempat perjudian di Kampung Penanjong, Daerah Tutong malam tadi.
Anggota polis semasa membuat serbuan ke atas sebuah rumah yang disyaki dijadikan tempat perjudian di Kampung Penanjong, Daerah Tutong malam tadi.

Selain itu, pemilik rumah di mana aktiviti perjudian dijalankan juga akan disiasat di bawah Seksyen 4 (a) Akta Rumah Judi Terbuka, dengan hukuman maksimum ialah denda $20,000 dan penjara 12 bulan.

Operasi bersepadu berkenaan telah diketuai oleh Pemangku Penolong Pegawai Pemerintah Daerah Polis Tutong dan Pegawai Jenayah Daerah Polis Tutong, Penolong Penguasa Polis Ramzi Hayatina bin DSSU Haji Ibrahim dan melibatkan pegawai serta anggota dari Balai Polis Tutong dan Unit Anti Maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah (CID).

ARTIKEL YANG SAMA