Judi: Polis KK berkas 4 lelaki

Judi: Polis KK berkas 4 lelaki

KOTA KINABALU, 8 April (Bernama) – Empat lelaki berumur 21 hingga 55 tahun diberkas kerana disyaki terlibat dalam kegiatan judi dalam talian semasa serbuan di sebuah premis di Inanam, dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, ACP M.Chandra berkata kesemua lelaki warga tempatan itu ditahan di tingkat satu premis di Inanam Central, kira-kira jam 10.21 malam tadi.

“Seterusnya penjaga premis ditangkap kerana disyaki menjalankan kegiatan perjudian mesin judi dalam talian secara haram. Turut ditangkap tiga orang pemain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut M.Chandra ekoran serbuan oleh sepasukan anggota polis dari Cawangan D7, Ibu Pejabat Polis Bandaraya Kota Kinabalu melalui Op Dadu itu, pihaknya turut merampas 20 unit tablet, masing-masing satu komputer riba dan peranti jalur lebar serta wang tunai RM1,060.

Kes disiasat di bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.