Julai catat 579 kes lalu lintas

Julai catat 579 kes lalu lintas

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Ogos – Sebanyak 579 kes atas pelbagai kesalahan lalu lintas telah dicatatkan sepanjang bulan Julai oleh Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu lintas (JSKLL), Pasukan Polis Diraja Brunei, menerusi operasi dan rondaan penguatkuasaan lalu lintas.

Daripada jumlah itu, sebanyak 385 kes dicatatkan dalam 25 operasi oleh JSKLL Gadong, manakala 194 kes menerusi 15 operasi lagi dilaporkan JSKLL Cawangan Batu 3 Belait.

Berdasarkan laporan hasil penguatkuasaan lalu lintas yang dikeluarkan oleh JSKLL, daripada jumlah kes berkenaan, 434 adalah kes kompaun dengan kesalahan memandu melebihi had laju mencatat jumlah tertinggi sebanyak 106 kes, dan 145 lagi kes doket dengan kesalahan tertinggi yang dicatat adalah cukai jalan tamat tempoh sebanyak 81 kes.

JSKLL dalam kenyataannya, hari ini, turut mengongsikan statistik kemalangan jalan raya bagi bulan Julai, iaitu sebanyak 280 kes dengan mencatat jumlah tertinggi sebanyak 177 kemalangan, diikuti Daerah Belait 67 kes, Daerah Tutong 36 kes dan tiada kemalangan dicatatkan di Daerah Temburong.

Daripada jumlah berkenaan tiga kes adalah kemalangan yang melibatkan dua kes kematian di Daerah Brunei dan Muara, manakala satu kes di Daerah Tutong.

Sehubungan dengan itu, Pasukan Polis Diraja Brunei terus menyeru para pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan-peraturan dan undang-undang lalu lintas di negara ini.

Di samping itu, sentiasa meningkatkan keselamatan di jalan raya serta berhati-hati ketika berada di jalan raya terutama sekali dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya akan memandu dengan berhati-hati serta berwaspada dan mematuhi peraturan lalu lintas yang dikuatkuasakan bagi memastikan kemalangan dapat dielakkan.

ARTIKEL YANG SAMA