Julang kembali kejuaraan

Julang kembali kejuaraan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Mei – Pasukan Bola Keranjang Veteran Negara Brunei Darussalam akan berdepan dengan laluan dan saingan yang hebat apabila pasukan itu bakal beraksi dalam Kejohanan Jemputan Bola Keranjang Cina Antarabangsa Macau 2016 yang akan bermula pada 14 hingga 15 Mei nanti.

Pasukan veteran negara yang dibarisi oleh pemain-pemain veteran yang berpengalaman membawa harapan untuk bukan sahaja memperbaiki lagi kedudukan mereka di antara pasukan-pasukan yang bersaing dalam kejohanan itu, tetapi juga untuk mengangkat kejuaraan yang pernah disandang oleh pasukan itu beberapa tahun yang lalu.

Ketua pasukan veteran negara, Khoo Eng Cheong mengaku bahawa laluan untuk merebut gelaran juara bagi pasukan negara amat sukar tetapi yakin dengan latihan dan pengalaman yang diperoleh, pasukan itu mampu untuk membuat kejutan.

Pasukan Bola Keranjang Veteran Negara Brunei Darussalam berjaya menewaskan Pasukan MnF, 72-61, dalam perlawanan persahabatan kelmarin.
Pasukan Bola Keranjang Veteran Negara Brunei Darussalam berjaya menewaskan Pasukan MnF, 72-61, dalam perlawanan persahabatan kelmarin.

Ke arah itu, sebagai persediaan untuk menghadapi kejohanan berkenaan, pasukan veteran negara telah mengadakan perlawanan persahabatan dengan Pasukan Bola Keranjang Media dan Rakan-Rakan (MnF) di Gelanggang Bola Keranjang Persatuan Bola Keranjang Brunei, Batu Bersurat, kelmarin.

Dalam perlawanan tersebut, pasukan veteran negara berjaya menewaskan Pasukan MnF, dengan mata 72-61.

Negara Brunei Darussalam akan mengambil bahagian dalam kategori 50 tahun ke atas, di mana kejohanan itu nanti bakal menyaksikan penyertaan pasukan-pasukan bola keranjang jemputan dari tujuh buah negara termasuk Brunei, Hong Kong, Malaysia, Singapura, Republik Rakyat China, Filipina dan Indonesia.

ARTIKEL YANG SAMA