Julang warisan seni

Julang warisan seni

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Mei – Pasukan Sekolah Menengah Sultan Hassan Bangar, Temburong dan Pasukan Sekolah Rendah Haji Mohd Jaafar Maun, Kiulap, masing-masing diumumkan sebagai johan Pertandingan Tarian Asli Brunei antara Sekolah Rendah Senegara ke-40 dan Pertandingan Tarian Etnik Brunei antara Sekolah Menengah, Maktab dan Pusat Tingkatan Enam Senegara ke-8 bagi tahun ini.

Dalam pertandingan akhir yang berlangsung di Dewan Riadah, Pusat Belia di ibu negara, hari ini, tempat kedua bagi Kategori Tarian Etnik telah disandang oleh Pasukan Sekolah Menengah Pehin Datu Seri Maharaja, Mentiri dan Pasukan Sekolah Menengah Sufri Bolkiah menduduki tempat ketiga.

Manakala itu, bagi Kategori Tarian Asli Brunei, tempat kedua dimenangi oleh Pasukan Sekolah Rendah Lambak Kanan Jalan 49 dan diikuti oleh Pasukan Sekolah Rendah Pantai Berakas di tempat ketiga.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Pemangku Ketua Unit Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan, Pengiran Sarimah binti Pengiran Haji Ahmad.

Pemangku Penolong Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Awang Roslin bin Suhailee ketika menyampaikan ucapan menjelaskan, pertandingan yang dibahagikan kepada Kategori Tarian Brunei Asli dan Tarian Etnik Brunei itu disertai oleh empat buah sekolah menengah, maktab dan pusat tingkatan enam dan empat buah sekolah rendah.

Gambar kemenangan daripada Pasukan Sekolah Rendah Haji Mohd Jaafar Maun, Kiulap.
Gambar kemenangan daripada Pasukan Sekolah Rendah Haji Mohd Jaafar Maun, Kiulap.
Johan pertandingan dari Pasukan Sekolah Menengah Sultan Hassan Bangar, Temburong sempat bergambar ramai bersama tetamu kehormat.
Johan pertandingan dari Pasukan Sekolah Menengah Sultan Hassan Bangar, Temburong sempat bergambar ramai bersama tetamu kehormat.

Menurut beliau, melalui pertandingan ini tarian tradisi Brunei asli dan etnik Brunei dapat dikembangkan dan menjadi satu petanda yang warisan seni itu tidak hilang kerana ia dapat dilihat sebagai satu usaha penerusan dan mengekalkan warisan seni.

Beliau seterusnya percaya, sokongan semua pihak ini memberikan satu impak positif dalam usaha jabatan memupuk semangat generasi muda untuk terus mempelajari seni budaya tarian Brunei asli dan etnik Brunei untuk terus kekal dikenali, dihayati dan dimiliki oleh generasi akan datang. Di samping, menanamkan dan memupuk semangat cintakan seni budaya bangsa dengan harapan ia akan terus menjadi satu identiti Brunei selaras dengan falsafah negara iaitu Melayu Islam Beraja (MIB).

Dengan adanya pertandingan itu, tambahnya, pelajar dapat mengenali dan menghayati cara kehidupan, budaya dan sejarah masyarakat Brunei pada zaman dulu seperti yang terkandung dalam penceritaan setiap tarian.

Pertandingan anjuran Jabatan Pendidikan Kokurikulum melalui Unit Akli ini antara lain bertujuan untuk mencungkil bakat pelajar yang berminat dalam bidang kebudayaan khususnya dalam bidang seni tari.

Antara peserta pertandingan yang tampil dengan pakaian tarian yang berwarna-warni.
Antara peserta pertandingan yang tampil dengan pakaian tarian yang berwarna-warni.
Persembahan tarian daripada salah sebuah pasukan yang menyertai pertandingan berkenaan.
Persembahan tarian daripada salah sebuah pasukan yang menyertai pertandingan berkenaan.

Selain itu, ia juga mendorong pelajar untuk mempelajari dan menghayati lebih mendalam seni tari yang perlu diwarisi turun temurun oleh anak-anak Brunei sendiri dengan berpegang falsafah MIB di samping memupuk semangat cintakan seni budaya dan warisan Brunei dalam kalangan pelajar.

Dalam temu bual media bersama guru yang mengetuai Pasukan SM Sultan Hassan, Awang Abdul Hamid bin Aji melahirkan perasaan gembira kerana pasukannya menjuarai pertandingan itu dengan mempersembahkan tarian Umak Ruma.

Beliau turut menyatakan perasaan tidak menyangka untuk merangkul gelaran johan dalam pertandingan kali ini kerana, persiapan yang dibuat untuk pertandingan ini hanya mengambil masa selama seminggu dan dibuat pada sebelah petang saja.

“Latihan intensif hanya dibuat dalam mengenal profil yang perlu ada dalam persembahan yang antaranya langkah yang mengikut tempo, gerak tari sesuai dengan konsep tarian Murut iaitu Umak Ruma,” ujarnya, sambil menambah, sebelum ini, sekolah berkenaan pernah menyertai pertandingan seumpama ini tapi tidak berjaya memasuki peringkat akhir di mana pertandingan kali terakhir disertai pada empat tahun lalu.

Pada tahun ini, jelasnya, sekolah berkenaan berusaha untuk menyertai pertandingan ini dalam usaha untuk mengangkat tarian tradisi terutama tarian yang berasal dari Daerah Temburong yang antaranya Umak Ruma.

Beliau seterusnya berharap, pasukan sekolah akan dapat mempertahankan tarian dan gerak tari untuk generasi akan datang di samping memberikan usaha yang konsisten dan komitmen yang intensif untuk menghalusi lagi gerak tari untuk persiapan pertandingan akan datang.

Awang Abdul Hamid tidak menyangka pasukannya berjaya merangkul gelaran johan dalam Pertandingan Tarian Etnik Brunei.
Awang Abdul Hamid tidak menyangka pasukannya berjaya merangkul gelaran johan dalam Pertandingan Tarian Etnik Brunei.
Dayang Siti Salina bersama salah seorang pelajar yang mengenakan pakaian Brunei dalam pertandingan itu.
Dayang Siti Salina bersama salah seorang pelajar yang mengenakan pakaian Brunei dalam pertandingan itu.

“Peserta sekolah yang menyertai dalam pertandingan ini adalah terdiri dari Kelab Andaman dan penari lelaki terdiri daripada bangsa Murut itu sendiri sebagai satu identiti yang benar-benar dapat dibawa dalam tarian Umak Ruma,” tambahnya.

Manakala itu, Guru Sekolah Rendah Haji Mohd Jaafar Maun, Dayang Siti Salina binti Haji Mohamad pula berkata, persiapan untuk ke pertandingan ini dijalankan pada waktu Kegiatan Luar Kurikulum (ECA) dan waktu kelepasan awam tanpa mengganggu sesi pembelajaran.

“Sekolah Rendah Haji Mohd Jaafar Maun ini diwakili oleh pelajar Tahun 2 hingga 5 di mana sebahagian mereka ini mempunyai pengalaman dalam pertandingan seumpama ini,” jelasnya.

Beliau seterusnya menambah, sekolah mereka juga telah beberapa kali mendapat gelaran johan dalam pertandingan tarian asli Brunei yang pernah disertai sebelum ini dan pelajar yang pernah mengikuti pertandingan ini turut membantu berkongsi pengalaman mereka dengan pelajar yang lain.

Penyertaan kali ini, jelasnya, adalah untuk menaikkan kegiatan kokurikulum sekolah di samping berharap akan adanya jerayawara akan memberi peluang kepada kanak-kanak yang tidak mengikuti pertandingan untuk mengetahui wujudnya tarian Brunei asli sekali gus mengetahui sejarah dan latar belakang setiap tarian.

ARTIKEL YANG SAMA