Jumlah dagangan bulan Mac naik 8.8%

Jumlah dagangan bulan Mac naik 8.8%

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Mei – Brunei Darussalam mencatatkan jumlah perdagangan sebanyak $1.153 bilion bagi bulan Mac 2015 yang terdiri daripada eksport ($812.2 juta) dan import ($340.4 juta).

Imbangan Perdagangan telah menurun bulan-ke-bulan sebanyak 11.2 peratus kepada $471.8 juta, sementara itu, jumlah perdagangan meningkat sebanyak 8.8 peratus.

Menurut perangkaan perdagangan barangan antarabangsa yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), Jabatan Perdana Menteri hari ini, eksport barangan bagi bulan Mac 2015 meningkat daripada $795.3 juta kepada $812.2 juta disebabkan peningkatan dalam eksport utama negara iaitu minyak mentah. Eksport minyak mentah mencatatkan peningkatan sebanyak 17.7 peratus berikutan peningkatan dagangan isi padu Minyak Mentah dari 120.92 kbbl sehari (Februari 2015) kepada 122.45 kbbl sehari pada Mac 2015.

Menurut JPKE, peningkatan purata harga eksport minyak mentah juga meningkat dari USD56.97/bbl (Februari 2015) kepada USD58.68/bbl pada Mac 2015. Sementara itu, penurunan nilai eksport LNG sebanyak 17.0 peratus adalah disebabkan penurunan dagangan isi padu LNG daripada 917,813 MMBtu sehari (Februari 2015) kepada 772,234 MMBtu sehari (Mac 2015).

Pasaran eksport terbesar adalah negara Jepun dengan 42.6 peratus dari jumlah eksport, diikuti oleh Thailand (12.3 peratus), Taiwan (7.7 peratus) dan Malaysia (7.2 peratus).

Import barangan juga meningkat sebanyak 29.1 peratus daripada $263.7 juta (Februari 2015) kepada $340.4 juta pada bulan Mac 2015. Ini disebabkan oleh peningkatan dalam import Bahan-bahan Mentah Yang Tidak Boleh Dimakan (82.6 peratus), Barang–barang Keluaran Kilang (68.6 peratus) dan Pelbagai Urusniaga (50.0 peratus). Import terbesar adalah dari negara Malaysia sebanyak 24.9 peratus dari jumlah import, diikuti oleh Singapura (12.8 peratus) dan China (12.2 peratus).

Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa (International Merchandise Trade Statistics, IMTS) bagi Negara Brunei Darussalam menggunakan “General System” bagi merekodkan perangkaan perdagangan yang meliputi import, eksport domestik dan eksport semula. Laporan penuh IMTS bagi Mac 2015 boleh didapati melalui laman sesawang JPKE di www.depd.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA