Jumlah firma guaman di Brunei meningkat

Jumlah firma guaman di Brunei meningkat

Oleh Sim Y. H. & Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Feb – Jumlah firma guaman di Negara Brunei Darussalam telah meningkat daripada 31 buah pada tahun lalu kepada 32 buah tahun ini, di mana seramai 110 orang peguam bela telah dikeluarkan sijil amalan oleh Mahkamah Tinggi.

Menurut Presiden Pertubuhan Undang-undang Negara Brunei Darussalam, Awang Mohamad Rozaiman bin DSLJ Haji Abdul Rahman, daripada jumlah itu, seramai 60 orang peguam bela adalah warganegara Brunei atau penduduk tetap Negara Brunei Darussalam.

“Jika dibandingkan daripada 2014 hingga 2015, jumlah peguam bela yang berkhidmat di Brunei adalah masih sama walaupun terdapat sebilangan peguam yang menamatkan pengajian pada 2015, hampir kesemua mereka telah menyertai perkhidmatan kerajaan atau syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya semasa berucap pada Majlis Pembukaan Tahun Undang-undang 2016 yang berlangsung di Mahkamah Tinggi, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Sehubungan itu beliau menyeru kepada bakal-bakal graduan dalam bidang perundangan supaya tidak takut untuk menerokai dan berkhidmat di sektor swasta kerana walaupun berkhidmat di sektor swasta adalah mencabar tetapi ia juga bermanfaat, berbaloi dan mereka juga tidak akan rugi dari segi pengalaman.

Awang Mohamad Rozaiman menyampaikan ucapan pada majlis berkenaan.
Awang Mohamad Rozaiman menyampaikan ucapan pada majlis berkenaan.
Antara hadirin yang menghadiri majlis berkenaan.
Antara hadirin yang menghadiri majlis berkenaan.

Majlis Pembukaan Tahun Undang-undang 2016 hari ini diadakan dengan penuh tradisi.

Majlis dimulakan dengan ketibaan Peguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Hayati binti Pehin Orang Kaya Shahbandar Dato Seri Paduka Haji Mohd Salleh. Majlis diteruskan dengan keberangkatan tiba Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah yang diikuti oleh ketibaan Ketua Hakim Negara, Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Haji Kifrawi bin Dato Paduka Haji Kifli yang menerima tabik hormat daripada Pasukan Polis Diraja Brunei.

Yang Amat Arif kemudian dipersilakan untuk memeriksa Perbarisan Pasukan Polis Diraja Brunei. Hadir pada majlis itu ialah pegawai-pegawai kanan kerajaan dan perwakilan-perwakilan diplomat asing.

Majlis diteruskan dengan para hadirin dijemput untuk berkumpul di Bilik Mahkamah Tinggi bagi mendengar ucapan yang disampaikan oleh Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Haji Kifrawi. Majlis juga menyaksikan ucapan daripada Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Hayati dan Awang Mohamad Rozaiman.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat yang diikuti dengan para hadirin dipelawa menikmati jamuan.

ARTIKEL YANG SAMA