Jumlah kematian banjir Jepun meningkat

Jumlah kematian banjir Jepun meningkat

TOKYO, 13 Sept (AFP) – Jumlah orang yang terbunuh dalam banjir yang memusnahkan Jepun pada minggu ini mencecah lima orang hari ini tatkala anggota menyelamat meneruskan usaha mencari mereka untuk lebih satu dozen orang yang masih hilang.

Polis berkata mereka menemui mayat seorang lelaki berusia 68 tahun di Tochigi, utara Tokyo, pada awal pagi, mangsa kelima yang ditemui dalam operasi menyelamat.

Mayat itu dilaporkan ditemui di dalam kereta yang ditenggelami di sawah padi di bandar yang juga terjejas akibat banjir.

Polis juga menemui satu lagi mayat seorang lelaki pada tengah hari di sawah padi di Joso, komuniti yang terdiri daripada 65,000 penduduk, sebahagiannya dihanyutkan pada Khamis apabila sebuah tetambak sungai Kinugawa roboh, sekali gus membanjiri kawasan yang dilaporkan menjangkau 32 kilometer persegi selepas hujan paling teruk dalam beberapa dekad.

Penduduk mengambil serpihan rumah mereka di bandar Joso di wilayah Ibaraki, 13 September. Lima lagi orang maut dalam banjir besar-besaran yang melanda Jepun, dengan hampir sedozen lagi hilang. – AFP
Penduduk mengambil serpihan rumah mereka di bandar Joso di wilayah Ibaraki, 13 September. Lima lagi orang maut dalam banjir besar-besaran yang melanda Jepun, dengan hampir sedozen lagi hilang. – AFP

“Kami masih menyiasat identiti mayat dan sama ada kematiannya mempunyai kaitan dengan banjir,” beritahu polis kepada AFP.

Empat hari telah berlalu sejak banjir namun operasi mencari diteruskan hari ini dengan 1,800 anggota menyelamat termasuk polis, bomba dan anggota Pasukan Mempertahankan Diri bergelut untuk mencari 15 orang yang masih hilang dari bandar, kata penyiar awam NHK.

Masa sudah kesuntukan memandangkan kawasan tersebut menjangka hujan lebat pada petang, yang mungkin memburukkan lagi kerosakan akibat banjir.

Pegawai berkata lebih daripada 2,100 orang masih berada di pusat pemindahan di Joso pada pagi ini apabila 4,000 rumah ditenggelami dan bekalan air terputus.

ARTIKEL YANG SAMA