Jumlah ketibaan pelancong Q2 susut sedikit

Jumlah ketibaan pelancong Q2 susut sedikit

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Okt – Jumlah ketibaan pelancong antarabangsa ke Negara Brunei Darussalam dalam tempoh suku kedua 2016 (Q2 2016) susut sedikit iaitu seramai 52,292 pelancong berbanding dengan 55,647 pelancong pada Q2 2015.

Bagaimanapun, dari segi pertumbuhan peratusan, Q2 2016 terus menunjukkan pertumbuhan yang positif daripada pasaran dari Timur Jauh (Far East) dengan peningkatan sebanyak 8.9 peratus dari tahun-ke-tahun (year-on-year (y-o-y)) jika dibandingkan dengan suku pertama sebelum ini iaitu sebanyak 8.3 peratus (y-o-y).

Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP), Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan dalam kenyataannya hari ini berkata, negara-negara seperti Republik Rakyat China dan Jepun kedua-duanya telah menyumbangkan antara pertumbuhan yang terbesar iaitu sebanyak 8 peratus (y-o-y).

Peningkatan itu ada kaitannya dengan kemudahan proses visa bagi pelawat-pelawat dari Republik Rakyat China dan kadar mata wang Jepun yang tinggi yang mana telah mempengaruhi permintaan perjalanan (Travel demand) dari Jepun bagi bulan April hingga Jun 2016.

“Namun, daripada peningkatan tersebut, jumlah ketibaan pelancong melalui udara untuk Q2 2016 telah mencatatkan penurunan sebanyak 6 peratus (y-o-y) daripada suku sebelumnya dalam tempoh yang sama pada tahun 2015 dan 2016.

“Ini adalah disebabkan oleh tren permintaan perjalanan yang rendah, daya saingan yang tinggi daripada negara-negara lain di rantau ini, dan pertumbuhan negatif dari pasaran-pasaran utama yang mana pasaran dari Australia/ New Zealand telah menyumbangkan penurunan sebanyak 26.6 peratus (y-o-y), diikuti dengan pasaran dari Jarak Jauh (Long Haul) sebanyak 15.0 peratus (y-o-y) dan pasaran dari ASEAN sebanyak 9.5 peratus (y-o-y),” kata kenyataan itu lagi.

Menurut JKP, Malaysia merupakan antara lima negara teratas yang merekodkan jumlah ketibaan pelancong yang tertinggi ke Brunei pada Q2 2016.

Ini kerana kemudahan dari segi kemasukan melalui udara dan kedudukan yang berhampiran, dengan sumbangan sebanyak 25 peratus (26.5 peratus pada Q2 2015), diikuti dengan Republik Rakyat China yang menyumbang sebanyak 18.3 peratus (15.9 peratus pada Q2 2015), Republik Indonesia sebanyak 9.5 peratus (8.9 peratus pada Q2 2015), Republik Filipina sebanyak 8.7 peratus (9.8 peratus pada Q2 2015), dan Singapura sebanyak 6.8 peratus (7.6 peratus pada Q2 2015).

Secara keseluruhannya, kelima-lima negara teratas itu telah menyumbang sebahagian besar ketibaan pelancong antarabangsa ke negara ini pada Q2 2016, iaitu sebanyak 68.2 peratus.

Menurut JKP, pasaran utama bagi Q2 2016 adalah pasaran dari ASEAN iaitu sebanyak 54.9 peratus (57.0 peratus pada Q2 2015), diikuti dengan pasaran Timur Jauh (Far East) sebanyak 23.1 peratus (19.9 peratus pada Q2 2015), pasaran Jarak Jauh (Long Haul) seperti Eropah dan Timur Tengah sebanyak 9.9 peratus (10.9 peratus pada Q2 2015) dan dari pasaran Australia dan New Zealand keduanya telah menyumbangkan sebanyak 4 peratus (5.1 peratus pada Q2 2015).

Tujuan utama bagi kemasukan pelancong ke Brunei Darussalam adalah untuk tujuan beriadah dan bercuti dengan sumbangan sebanyak 41.9 peratus (38.8 peratus pada Q2 2015). Manakala 18.4 peratus adalah pelancong dengan tujuan untuk perniagaan (19.6 peratus pada Q2 2015), melawat rakan dan saudara-mara (Visiting Friends and Relatives) sebanyak 11.6 peratus (12.2 peratus pada Q2 2015), pelancong membuat persinggahan sementara (Transit) sebanyak 11.0 peratus (11.7 peratus pada Q2 2015), Kerajaan sebanyak 2.6 peratus (3.4 peratus pada Q2 2015), pameran sebanyak 0.8 peratus (0.9 peratus pada Q2 2015), lain-lain tujuan sebanyak 13.3 peratus (9.9 peratus pada Q2 2015) dan tidak dinyatakan sebanyak 0.4 peratus (3.6 peratus pada Q2 2015).

Republik Rakyat China dan Malaysia merupakan antara negara yang terus menjadi penyumbang utama kepada pasaran riadah dan percutian sebanyak 57.3 peratus pada Q2 2016 dan masing-masing menyumbangkan sebanyak 39.1 peratus dan 18.2 peratus.

Purata tempoh penginapan bagi hotel pada Q2 2016 adalah dua hari berbanding dengan 2.2 hari dalam masa yang sama pada tahun lepas. Manakala, purata kadar penginapan hotel bagi Q2 2016 adalah sebanyak 34.4 peratus berbanding dengan Q2 2015 yang mana jumlah tersebut adalah sebanyak 38.6 peratus.

Bagi Q2 2016, jumlah tempat penginapan adalah sebanyak 84 premis yang terdiri daripada taraf resort mewah (seperti The Empire Hotel & Country Club), taraf antarabangsa (seperti Hotel Radisson), taraf perniagaan, penginapan bajet, lodging, apartmen, guest house dan homestay. Jumlah tempat penginapan untuk hotel, resort dan apartmen adalah sebanyak 50 buah, homestay sebanyak 17 buah dan guest houses and rest houses sebanyak 15 buah dan Government Guest Houses sebanyak dua buah.

Manakala, jumlah keseluruhan bilik dan katil tersedia adalah sebanyak 4,319 buah bilik dan 6,057 buah katil. Pada Q2 2015, jumlah tempat penginapan telah mencatatkan sebanyak 71 buah premis diikuti dengan 3,649 buah bilik dan 5,184 buah katil daripada kategori-kategori tempat penginapan yang sama.

Bagi Q2 2016, jumlah ejen-ejen pelancongan yang berdaftar di bawah Jabatan Kemajuan Pelancongan adalah sebanyak 60 buah syarikat jika dibandingkan dengan masa yang sama pada tahun sebelumnya iaitu sebanyak 57 buah syarikat. Kesemua agensi-agensi pelancongan ini adalah berdasarkan kepada perjalanan inbound dan outbound, kata kenyataan itu lagi.

ARTIKEL YANG SAMA