Jumlah korban jiwa terus meningkat

Jumlah korban jiwa terus meningkat

KATHMANDU, 1 Mei (Reuters) – Jumlah kematian akibat gempa bumi Nepal meningkat melebihi 6,200 pada hari ini, tatkala gegaran baru dan bau mayat reput menjadikannya sukar bagi mangsa yang selamat untuk pulang ke rumah mereka.

Pembuangan beratus mayat yang masih ditemui enam hari selepas gempa bumi dengan magnitud 7.9 memusnahkan negara Himalaya yang mempunyai 28 juta penduduk, telah menjadi satu masalah kepada para pegawai, yang telah mengarahkan pembakaran segera.

“Rumah mayat dipenuhi dan kami telah diberikan arahan supaya membakar mayat sejurus selepas mereka dikeluarkan,” kata Raman Lal, seorang pegawai tentera separa yang bekerjasama dengan tentera Nepal.

Bantuan mula sampai ke bandar dan kampung terpencil yang terletak di gunung dan kaki bukit namun bau mayat yang amat kuat yang masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan yang roboh di ibu negara menjadikannya sukar untuk penduduk kembali ke rumah mereka.

Ramai penduduk Nepal telah tidur di tempat terbuka sejak gempa bumi pada Sabtu. Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, 600,000 rumah telah musnah atau rosak.

Para penduduk Nepal berdiri di samping rumah mereka yang musnah ketika menyaksikan helikopter tentera India yang membawa barang bantuan, bersedia untuk mendarat di Baluwa, daerah Gorkha. – AFP
Para penduduk Nepal berdiri di samping rumah mereka yang musnah ketika menyaksikan helikopter tentera India yang membawa barang bantuan, bersedia untuk mendarat di Baluwa, daerah Gorkha. – AFP

Menteri Kewangan Ram Sharan Mahat berkata Nepal akan memerlukan sekurang-kurangnya $2 bilion untuk membina semula rumah, hospital, pejabat kerajaan dan bangunan bersejarah dan merayu meminta bantuan daripada penderma antarabangsa.

“Ia hanya anggaran awal dan ia akan mengambil masa untuk menilai setakat mana kerosakan serta mengira kos pembinaan semula,” beritahu Mahat kepada Reuters.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata lapan juta orang telah terjejas, dengan sekurang-kurangnya dua juta memerlukan khemah, air, makanan dan ubat dalam tempoh tiga bulan akan datang.

Seorang pegawai kementerian dalam negeri berkata jumlah kematian telah meningkat kepada 6,204, dengan 13,924 cedera.

Menteri Maklumat Minendra Rijal berkata kerajaan akan menyediakan $1,000 dalam bantuan segera kepada keluarga mangsa yang terbunuh, serta $400 untuk pembakaran atau pengebumian.