Jumlah korban meningkat

Jumlah korban meningkat

CHICAGO, 27 Dis – Puting beliung luar biasa bulan ini telah menerbangkan kenderaan dari lebuh raya dan meranapkan rumah-rumah di Texas, membawa jumlah kematian kepada 25 orang dalam beberapa hari ribut melanda di seluruh selatan Amerika Syarikat (AS).

Cuaca ekstrem, yang diperhebat lagi dengan udara hangat tidak bermusim, sepertinya akan berterusan selama beberapa hari lagi, lapor Khidmat Kaji Cuaca Negara, menghambat perjalanan percutian di sebahagian besar negara itu.

Kematian lewat kelmarin di Texas muncul selepas berjuta-juta penduduk di selatan AS bergelut untuk berpulih daripada ribut kencang dan banjir teruk, dengan lebih banyak hujan diramalkan.

Sekitar 17 orang terbunuh dalam insiden berkaitan ribut sejak Rabu di Mississippi, Tennessee dan Arkansas, kata para pegawai tempatan.

Sekurang-kurangnya lapan orang maut ketika puting beliung mencecah di bahagian metroplex Dallas-Fort Worth yang ramai penduduknya, lapor media dan pegawai tempatan.

Antara kemusnahan berpunca dari puting beliung yang membadai negara jiran di Birmingham, Alabama pada 26 Disember. – Reuters
Antara kemusnahan berpunca dari puting beliung yang membadai negara jiran di Birmingham, Alabama pada 26 Disember. – Reuters

Puting beliung membadai sekitar 6:45 petang (0045 GMT Ahad) di Garland, Texas, kata pegawai bandar dalam satu kenyataan.

“Lima kematian telah disahkan. Kerosakan teruk telah dilaporkan ke atas kenderaan, rumah, dan apartmen di kawasan yang sama,” menurut kenyataan itu.

Kematian ‘dipercayai berkaitan dengan kenderaan yang dibadai puting beliung,” katanya, menambah bahawa terdapat juga beberapa orang yang cedera dan pasukan penyelamat tiba untuk membantu menggeledah kawasan yang dilanda.

Puting beliung menumbangkan kabel elektrik dan mencabut pilon, mengakibatkan sekitar 30,000 penduduk Garland dalam keadaan bergelap,” menurut bandar berkenaan.

Kebanyakan korban jiwa di Garland kelihatannya disebabkan ‘tiupan angin kencang dari lebuh raya,” kata jurucakap polis Garland, Mike Hatfield memberitahu Dallas Morning News.

“Kami sedang bekerja dalam kegelapan di luar sana. Semua lampu jalan dan lampu lebuh raya terpadam,” kata Hatfield.

Tiga yang lain juga maut dalam insiden berkaitan cuaca di Mukim Collin, hanya utara dari metroplex, menurut akhbar itu, memetik polis tempatan.

Wartawan kaji cuaca TV mengatakan 11 puting beliung membadai rantau itu, jumlah yang NWS belum dapat pastikan.

Di Alabama, banjir kilat berterusan hari ini berikutan beberapa hari hujan turun yang bermula pada Khamis.

Gabenor Robert Bentley mengumumkan keadaan darurat banjir hanya beberapa hari sebelum puting beliung Krismas menumbangkan pokok dan menerbangkan bumbung rumah.

Malah puting beliung juga berlaku di Birmingham, negeri yang paling ramai penduduknya. Tidak ada korban jiwa dilaporkan namun ia telah memusnahkan tiga buah rumah, kata Ketua Jabatan Bomba Birmingham, Charles Gordon memberitahu CNN. – AFP