Jumlah mangsa banjir berkurangan

Jumlah mangsa banjir berkurangan

KUCHING, 22 Feb (Bernama) – Jumlah mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan di bahagian Kuching, Serian dan Samarahan berkurangan kepada 7,327 orang pada 4 petang kelmarin berbanding 7,965 tengah harinya, berikutan banjir kian surut.

Jurucakap Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Sarawak ketika dihubungi berkata mereka ditempatkan di 50 pusat pemindahan banjir di daerah berkenaan, kebanyakannya di sekitar daerah Kuching.

Menurutnya keadaan banjir dijangka beransur pulih secara perlahan, ekoran cuaca di ketiga-tiga bahagian sejak awal pagi kelmarin adalah baik.

Sebanyak 15 buah sekolah di beberapa daerah di Sarawak ditutup kelmarin akibat banjir, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Aksi dua remaja bermain air di padang Sekolah Kebangsaan St David yang ditenggelami banjir di Batu Kitang kelmarin. Sebanyak 15 sekolah sekitar daerah Kuching, Bau dan Padawan terpaksa ditutup akibat banjir. – Bernama
Aksi dua remaja bermain air di padang Sekolah Kebangsaan St David yang ditenggelami banjir di Batu Kitang kelmarin. Sebanyak 15 sekolah sekitar daerah Kuching, Bau dan Padawan terpaksa ditutup akibat banjir. – Bernama

Beliau berkata sebaik sahaja banjir surut, kerosakan yang dialami sekolah terbabit akan dinilai dan kerja membaiki kerosakan itu akan dilakukan dengan kadar segera.

Mahdzir berkata demikian kepada pemberita ketika melawat Sekolah Kebangsaan (SK) St. David Bumbok, kira-kira 17 kilometer dari bandaraya Kuching, kelmarin.