Jumlah mangsa banjir S’wak meningkat

Jumlah mangsa banjir S’wak meningkat

KUCHING, 21 Feb (Bernama) – Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan terus meningkat kepada 3,734 orang daripada 1,028 keluarga di bahagian Kuching, Serian dan Samarahan tengah hari kelmarin, berlindung di 25 pusat pemindahan (PP).

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Sarawak Siti Huzaimah Ibrahim berkata angka itu meningkat berbanding 2,869 daripada 779 keluarga pagi kelmarin.

Beliau berkata di bahagian Kuching ketika ini, lapan PP dibuka di daerah Kuching, dan lapan di daerah Bau, manakala di bahagian Serian lima dibuka di daerah Serian dan satu di daerah Padawan.

Dalam satu kenyataan di sini, beliau berkata tiga lagi PP di bahagian Samarahan terdiri daripada Masjid Darul Ibadah, Dewan Serbaguna Balai Bomba Siburan, dan Sekolah Kebangsaan Endap; ketiga-tiganya berada dalam daerah Kota Samarahan.

Penduduk kampung menggunakan kayak untuk menghantar bekalan makanan dari rumah ke rumah yang ditenggelami air di Kampung Endap, Siburan kelmarin. – Bernama
Penduduk kampung menggunakan kayak untuk menghantar bekalan makanan dari rumah ke rumah yang ditenggelami air di Kampung Endap, Siburan kelmarin. – Bernama

Sementara itu, difahamkan seorang pemuda dilaporkan hilang dibawa arus semasa cuba menyeberangi sungai di Kampung Maang, Siburan, kira-kira 30 kilometer dari sini malam Sabtu.

Jurucakap bomba berkata operasi mencari pemuda yang dikenali sebagai Judus, 20, sedang ditingkatkan menerusi ‘surface water searching’ (pencarian di permukaan air) dengan bot sekitar 1 kilometer dari kawasan dia dilaporkan hilang.