Jumlah mangsa nahas lombong meningkat

Jumlah mangsa nahas lombong meningkat

MOSCOW, 28 Feb (AFP) – Bilangan kematian dalam nahas lombong paling buruk dalam sejarah Rusia meningkat kepada 36 orang hari ini, tatkala pegawai mengatakan 26 orang pekerja mungkin tidak terselamat dan enam lagi, kebanyakan mereka penyelamat, telah terkorban dalam satu letupan baru.

Pada Khamis, empat pelombong telah terbunuh apabila letupan gas metana menembusi lombong Severnaya di Artik Rusia pada kedalaman 748 meter (2,450 kaki).

“Menurut majlis pakar teknikal, 26 orang yang berada dalam lombong tidak mempunyai peluang untuk selamat,” Tatyana Bushkova, seorang jurucakap bagi pengendali lombong itu Vorkutaugal, memberitahu AFP hari ini.

“Usaha menyelamat telah ditangguhkan,” dia menambah dalam satu keterangan e-mel.

Satu letupan baru metana dalam lombong pada awal hari ini membunuh lima pekerja penyelamat dan seorang pelombong, Anton Kovalishin, seorang jurucakap bagi kementerian kecemasan di rantau Komi di mana lombong itu terletak, memberitahu AFP.

Letupan yang berlaku di sebuah lombong kawasan artik Rusia yang menyebabkan beberapa orang mati tertimbus. – AFP
Letupan yang berlaku di sebuah lombong kawasan artik Rusia yang menyebabkan beberapa orang mati tertimbus. – AFP

Lombong itu terletak di bandar Vorkuta di rantau Komi, yang pernah digunakan untuk menghoskan salah satu khemah pekerja paling digeruni semasa era Soviet Gulag.

Vorkutaugal dikendalikan oleh Severstal, pembuat keluli Rusia yang dikawal oleh bilionair Alexey Mordashov.

Pihak berkuasa melancarkan operasi mencari besar-besaran melibatkan ratusan pekerja menyelamat yang sedang mencuba untuk mengesan orang-orang yang masih hilang walaupun dengan jarak penglihatan hampir tidak nampak, berasap, udara tercemar dan runtuhan.

Kedua-dua pihak syarikat dan pihak berkuasa sehingga kini enggan untuk mengisytiharkan jumlah kematian yang hilang walaupun para penyelamat kelihatan tidak berupaya untuk berhubung dengan mereka sejak beberapa hari ini.

Namun letupan terbaru memaksa pegawai untuk mengakui tiada siapa yang mungkin terselamat.

“Malangnya, kami terpaksa untuk mengakui bahawa kesemua keadaan pada seksyen lombong tidak membenarkan seorang pun terselamat,” Menteri Kecemasan Vladimir Puchkov berkata bagi pihaknya dalam komen-komen yang disiarkan oleh saluran televisyen LifeNews.

Bushkova berkata api masih menyala pada lombong itu dan syarikat itu mempertimbangkan sama ada untuk membanjiri lubang itu atau mengepam gas inert ke dalamnya.