Jumlah maut cecah lebih 60 orang

Jumlah maut cecah lebih 60 orang

KABUL, 10 Dis – Jumlah korban dalam serangan Taliban ke atas Lapangan Terbang Kandahar bermula lewat Selasa lepas dan berakhir lebih 24 jam kemudian mencecah lebih 60 orang, menurut seorang pegawai hari ini.

“Penyerang terakhir dibunuh pada kira-kira jam 8:15 malam tadi,” kata jurucakap Kementerian Pertahanan Dawlat Waziri.

Beliau berkata 38 orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak, 10 anggota tentera Afghan, dua anggota polis Afghan, dan 11 orang penyerang terbunuh dalam kejadian itu.

Serangan tersebut turut mencederakan “37 orang, termasuk 14 orang awam, 17 tentera Afghan dan empat anggota polis Afghan,” katanya.

Penyerang terakhir berjaya dibunuh setelah beliau menjadikan kaum wanita dan kanak-kanak sebagai tebusan di tingkat tiga kediaman anggota keluarga tentera, menurut dua sumber di lapangan terbang yang enggan dikenali.

Warga Afghanistan mengusung  keranda salah seorang mangsa orang awam yang maut dalam pertempuran tentera dan kumpulan Taliban di Lapangan Terbang Kandahar semalam. – Agens
Warga Afghanistan mengusung keranda salah seorang mangsa orang awam yang maut dalam pertempuran tentera dan kumpulan Taliban di Lapangan Terbang Kandahar semalam. – Agensi

Masih belum jelas sama ada para tebusan adalah di antara mangsa yang maut. Satu lagi sumber berkata tingkat tiga dijilat api selepas pertempuran dengan penyerang yang terakhir.

“Kita akan menjalankan siasatan,” kata Jeneral Daud Shah Wafadar, komander batalion 205 tentera kebangsaan Afghan yang ditempatkan di lapangan terbang Kandahar.

Lebih 2,000 tentera antarabangsa yang ditempatkan di situ tidak terbabit dalam pertempuran, yang berpusat agak jauh daripada berek mereka di sektor kediaman, kata Michael Lawhorn, jurucakap Misi Sokongan ISAF di Afghanistan.

Presiden Afghan Ashraf Ghani semalam berkata di Islamabad, Pakistan, bahawa beliau bersedia untuk mendapatkan perjanjian damai dengan para pemberontak yang meletakkan senjata dan mengambil bahagian dalam proses demokratik. – dpa