Jumlah pelajar Brunei ke AS meningkat

Jumlah pelajar Brunei ke AS meningkat

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 1 Mac – Minat mendalam dalam kalangan rakyat negara ini untuk melanjutkan pendidikan tinggi di Amerika Syarikat (AS) meningkat 23 peratus dalam beberapa tahun kebelakangan, berbanding hanya 12 peratus pada awal tahun 2005 apabila AS memulakan pertukaran pendidikan antarabangsa dengan negara ini.

Menurut laporan Open Doors Report mengenai Pertukaran Pendidikan Antarabangsa bagi Pelajar-pelajar dari Negara Brunei Darussalam, peningkatan itu disebabkan kepelbagaian pilihan kursus yang ditawarkan institusi pengajian tinggi di sana, kata Pegawai Perhubungan Awam Kedutaan Amerika Syarikat di Brunei Darussalam, Dr Edward Finlay semasa melancarkan Pameran Pengajian Tinggi AS di Sekolah Menengah Sayyidina Ali hari ini di Kuala Belait. Berdasarkan peningkatan ini, Kedutaan AS mengungkayahkan acara seumpamanya di Daerah Belait selepas pameran di Bandar Seri Begawan, semenjak tiga tahun lalu.

Menurut Dr Finlay lagi, “Pameran diadakan di sini untuk memberi peluang kepada pelajar ‘A’ Level atau lepasan ‘A’ Level pilihan untuk melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat dan memudahkan lagi ibu bapa berbanding ke Bandar Seri Begawan.”

Dr Finlay (enam dari kiri) selepas pelancaran Pameran Pendidikan Tinggi AS di Kuala Belait.
Dr Finlay (enam dari kiri) selepas pelancaran Pameran Pendidikan Tinggi AS di Kuala Belait.
Pelajar mendengar penjelasan daripada perwakilan sebuah institusi pengajian tinggi AS yang menyertai pameran itu.
Pelajar mendengar penjelasan daripada perwakilan sebuah institusi pengajian tinggi AS yang menyertai pameran itu.

Sebanyak sembilan buah institusi pengajian tinggi menyertai pameran itu, kata Dr Finlay, menambah bahawa AS juga terbuka untuk bekerjasama dalam program latihan dalam kursus-kursus pengkhususan (specialisation) yang akan memberi faedah kepada kedua-dua kerajaan.

Menurutnya lagi, ketika ini terdapat satu program kerjasama dengan sebuah institut teknologi pengajian tinggi di Florida dan Kedutaan Amerika bersedia bekerjasama dalam program latihan lain selain daripada industri minyak dan gas, misalnya dalam bidang perniagaan dan kewangan serta aviasi.

“Saya rasa ianya adalah peluang yang baik bagi mana-mana pelajar yang belajar di Amerika Syarikat untuk menimba pengalaman mereka dengan mengikuti program latihan di sana, apa yang menjadi kepentingan di sini adalah bagaimana kami boleh memberi peluang yang lebih banyak lagi dalam soal program kerjasama ini,” jelas Dr Finlay lagi.

ARTIKEL YANG SAMA