Jumlah pelancong Brunei ke Thailand meningkat

Jumlah pelancong Brunei ke Thailand meningkat

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Jan – Lebih daripada 11,000 orang pelancong dari Negara Brunei Darussalam tiba di Bangkok dalam tahun 2015 dan jumlah ini mencatatkan peningkatan daripada tahun sebelumnya.

Ini kerana Thailand menawarkan produk pelancongan yang unik, berbeza daripada negara-negara lain, terutamanya pelancongan kesihatan, Pengurus Pemasaran Autoriti Pelancongan Thailand Malaysia-Brunei (TAT), Richard Lim menekankan perkara itu ketika berucap dalam Seminar Produk Pelancongan Thailand 2016 di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.

Menurutnya lagi, peningkatan pelancong negara ini ke negara beraja itu adalah sebanyak 26 peratus sepanjang tahun lalu.

Manakala Pengarah Muslim Malaysia-Brunei (TAT), Ahman Mad-Adam berkata, Thailand juga kini merangsang lebih banyak pelancongan perubatan dari Brunei kerana semakin banyak permintaan terhadapnya.

Ahman Mad-Adam menyampaikan ucapannya sebelum seminar tentang produk bermula.
Ahman Mad-Adam menyampaikan ucapannya sebelum seminar tentang produk bermula.
Antara wakil dari agensi-agensi pelancongan di Negara Brunei Darussalam yang menghadiri seminar produk Thailand di Hotel Antarabangsa Rizqun semalam.
Antara wakil dari agensi-agensi pelancongan di Negara Brunei Darussalam yang menghadiri seminar produk Thailand di Hotel Antarabangsa Rizqun semalam.

“Kami mempunyai beberapa kemudahan perubatan terbaik dan kakitangan perubatan yang berkelayakan. Salah satu daripada kekuatan penjagaan perubatan Thailand adalah kami memberi perhatian setulus hati. Ia bukan sahaja dalam bentuk penjagaan perubatan malahan penjagaan yang diberikan oleh kakitangan juga penuh ikhlas,” tambah beliau.

Seminar hari ini turut memfokuskan pengenalan produk terbaru TAT iaitu aplikasi telefon pintar yang menyediakan maklumat setempat bagi pelancong beragama Islam.

Aplikasi berkenaan telah dilancarkan pada 22 Jun tahun lepas dalam Bahasa Inggeris, Thailand dan Arab supaya dapat membantu pelancong mencari restoran halal, hotel yang berkonsepkan Islam, masjid dan pengendalian pelancong dengan teliti.

Aplikasi ini mempunyai banyak fungsi yang berguna seperti mencari lokasi menarik berhampiran, kompas kiblat, menunjuk butiran tempat-tempat dengan terperinci dan peta navigasi.

Mereka yang ingin memuat turun aplikasi ini boleh melayari Google Play dan juga tersedia di App Store atau melayari www.tourismthailand.org/muslimfriendly.

Aplikasi ini juga merupakan sebahagian daripada kempen untuk menarik lebih ramai pelancong dari Timur Tengah, Brunei, Malaysia dan Indonesia yang telah memberikan jumlah gabungan sejumlah tiga juta orang pelancong ke negara itu tahun lepas.

Turut hadir di seminar berkenaan ialah wakil dari agensi-agensi pelancongan di Negara Brunei Darussalam serta para jemputan khas dari TAT dan Brunei.

ARTIKEL YANG SAMA