Jumlah pelancong ke M’sia meningkat

Jumlah pelancong ke M’sia meningkat

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Julai – Berbanding pada tahun 2015, maklumat statistik terkini kemasukan pelancong Brunei ke Malaysia menunjukkan peningkatan sebanyak lima peratus iaitu lebih 300,000 telah dicatat dari awal Januari hingga Mac 2016.

Manakala itu, sepanjang tahun 2015 pula, statistik menunjukkan penurunan sebanyak 6.6 peratus, berbanding tahun sebelumnya.

Pengarah Tourism Malaysia Brunei, Zurina Abdul Samad menjelaskan, antara penyebab yang menjejaskan kemasukan pelancongan ke Malaysia adalah kemalangan Penerbangan Malaysia dan gempa bumi yang terjadi baru-baru ini.

“Pada awal tahun ini, keadaan agak sedikit stabil dan pelancong semakin meningkat. Mata wang Malaysia yang lemah juga menjadi salah satu punca utama dalam memberi kuasa pembelian barangan di Malaysia yang murah menjadi kelebihan bagi pelancong luar dan pelancong Brunei untuk datang ke Malaysia,” ujarnya lagi ketika ditemu bual semasa Majlis Pejabat Terbuka Tourism Malaysia di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.

Zurina Abdul Samad semasa ditemu bual.
Zurina Abdul Samad semasa ditemu bual.

Beliau seterusnya berkata, pelancong-pelancong dari Laos dan China masih memilih Malaysia menjadi negara tumpuan pelancongan mereka, dengan statistik tahun ini menunjukkan peningkatan 35.2 peratus bagi pelancong China dan 58.2 peratus bagi pelancong dari Laos sebagai negara-negara yang menerima kemasukan pelancong tertinggi ke Malaysia.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa Tourism Malaysia akan meneruskan kerjasama dengan pelbagai agensi bagi meningkatkan kedatangan pelancong tempatan ke Malaysia.

Salah satu daripadanya, kerjasama bersama Persatuan Motosikal Darussalam (Pemoda) pada akhir tahun ini di bawah program lawatan ke Malaysia Barat bersempena dengan ‘KL International Bike Week 2016’.

Selain itu, Tourism Malaysia juga akan bekerjasama dengan syarikat penerbangan tempatan Royal Brunei dan AirAsia dalam kedatangan Pesta Pelancongan pada bulan September ini.

Pelbagai program juga akan dijalankan termasuk Pesta Pelancongan Satu Malaysia, Durian Trail di Pulau Penang, Karnival Mega Sale dari bulan ini hingga Ogos dan Jualan Akhir Tahun.

ARTIKEL YANG SAMA