Jumlah pelancong ke Sandakan berkurangan

Jumlah pelancong ke Sandakan berkurangan

SANDAKAN, 27 April – Sektor pelancongan di daerah ini masih merasai kemerosotan jumlah kunjungan pelancong khususnya dari luar negara yang masih tidak yakin dengan keselamatan di perairan timur negeri ini.

Pengerusi Persatuan Pelancongan Sandakan (STAN) Johnny Lim berkata kejadian penculikan yang berlaku di perairan antarabangsa baru-baru ini telah menjejaskan keyakinan pelancong untuk datang ke daerah ini.

“Biarpun berlaku bukan di perairan negeri ini tetapi pelancong dari luar negara melihatnya sebagai ancaman keselamatan.

“Tahap keselamatan di perairan timur Sabah adalah terkawal, namun usaha perlu ditambah untuk meningkatkan keyakinan pelancong,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau menyifatkan pewujudan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dan penambahan aset pasukan keselamatan merupakan tindakan kerajaan yang berkesan dalam meningkatkan kawalan keselamatan di timur negeri ini.

Lim berkata STAN turut berusaha menarik kehadiran pelancong ke daerah ini termasuk mencadangkan kepada kerajaan untuk menaik taraf Lapangan Terbang Sandakan sebagai lapangan terbang antarabangsa.

Katanya ia bagi membolehkan penerbangan terus dari destinasi luar negara dapat dilakukan ke daerah ini.

Dalam pada itu, Pengurus Bahagian Makanan dan Minuman Hotel Sandakan, Salim Sakil berkata kekurangan jumlah pelancong ke daerah ini telah menjejaskan pendapatan sektor perhotelan. – Bernama