Jumlah pelancong Taiwan dijangka meningkat

Jumlah pelancong Taiwan dijangka meningkat

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Achong Tanjong

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Ogos – Jumlah pelancong dari Negara Brunei Darussalam ke Taiwan dijangka akan meningkat pada 2016 dengan Taiwan memperkenalkan Program Pengecualian Visa bagi warganegara Brunei ke negara itu yang bermula 1 Ogos lalu.

Dengan Program Pengecualian Visa itu, warga Brunei boleh membuat lawatan, melancong, mengendalikan urusan perniagaan, melawat keluarga atau menghadiri pelbagai acara di Taiwan seperti persidangan antarabangsa, acara sukan dan pameran perdagangan di Taiwan di bawah Program Pengecualian Visa itu bagi tempoh tinggal tidak lebih dari 30 hari.

Usaha itu merupakan langkah awal bagi Taiwan untuk menarik lebih ramai pelancong Brunei untuk melawat Taiwan, jelas wakil Pejabat Kebudayaan dan Ekonomi Taiwan di Negara Brunei Darussalam, Jason C.H. Wan kepada pihak media semasa sesi taklimat bersama wakil agensi pelancongan tempatan di Pejabat Kebudayaan dan Ekonomi Taiwan di Brunei Darussalam, Gadong, hari ini.

Beliau mendedahkan bahawa pada 2015, seramai 1,563 orang pelancong dari Brunei telah melawat Taiwan dan jika dibandingkan dengan negara-negara ASEAN yang lain, pelancong di Brunei yang melawat ke Taiwan berada di tangga ketujuh iaitu di belakang Malaysia, Singapura, Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam.

Jason Wan berkata masih terdapat ruang bagi pejabatnya untuk mempromosikan pergerakan pelancong dari Taiwan ke Brunei dan dari Brunei ke Taiwan.
Jason Wan berkata masih terdapat ruang bagi pejabatnya untuk mempromosikan pergerakan pelancong dari Taiwan ke Brunei dan dari Brunei ke Taiwan.

Beliau berkata, jelas masih banyak yang boleh dilakukan oleh pejabatnya bukan sahaja untuk menggalakkan lebih banyak pelancong Brunei melawat Taiwan tetapi bagi pelancong Taiwan untuk melawat Brunei.

Jason Wan juga mendedahkan bahawa jumlah pelancong dari Taiwan yang melawat Brunei telah menunjukkan penurunan daripada seramai 2,411 orang pada 2013, menurun kepada 298 orang pada 2014 dan kepada 285 orang pada 2015.

Dalam hubungan itu, beliau menyatakan harapan jika Program Pengecualian Visa sama boleh diberikan kepada warga Taiwan kerana beliau yakin usaha itu bukan sahaja akan menggalakkan lebih ramai pelancong dari Taiwan untuk melancong ke Brunei tetapi juga menggalakkan pelabur-pelabur Taiwan untuk berkunjung ke Brunei bagi meneroka peluang pelaburan di Brunei.

Sesi taklimat dengan wakil agensi pelancongan tempatan itu, dihasratkan untuk bertukar-tukar pandangan dan permasalahan dengan pejabat berkenaan supaya ia dapat membantu agensi pelancongan tempatan untuk menawarkan pakej pelancongan ke Taiwan termasuk pakej pelancongan Muslim ke Taiwan bagi mempromosikan lagi pertukaran penduduk dan kefahaman di antara kedua-dua belah pihak.

ARTIKEL YANG SAMA