Jumlah pelarian ‘diperbesar-besarkan’

YANGON, 12 Okt – Media telah ‘membesar-besarkan’ jumlah pelarian Rohingya yang melarikan diri daripada tindakan keras tentera, kata ketua komander Myanmar hari ini, dalam penyangkalan tuduhan penghapusan kaum oleh tenteranya.

Kira-kira 520,000 Rohingya telah melarikan diri dari negeri Rakhine di barat Myanmar sejak 25 Ogos, apabila tentera melancarkan kempen besar-besaran ke atas militan daripada kumpulan minoriti Islam. Tindakan keras adalah amat sengit sehingga PBB semalam menuduh Myanmar berusaha menghapus kesemua penduduk Rohingya.

Satu laporan PBB baru yang dikeluarkan semalam menggambarkan tindakan keras pimpinan tentera sebagai “dirancang, diselaras dengan baik, sistematik, dengan niat bukan sahaja mengusir penduduk keluar dari Myanmar tetapi menghalang mereka daripada kembali ke rumah mereka.”

Separuh daripada Rohingya Myanmar telah melarikan diri dalam tempoh tujuh minggu lalu, melarikan diri daripada kampung terbakar untuk menyertai apa yang telah menjadi kem pelarian terbesar di dunia di negara jiran Bangladesh.

Beribu-ribu orang lagi masih cuba melarikan diri, berkumpul di pantai dan berharap dapat menyeberangi Sungai Naf sebelum makanan mereka kehabisan.

Namun dalam laman Facebook hari ini, ketua tentera Min Aung Hlaing tidak menyesal, menggambarkan respons tentera sebagai wajar dan tidak menghebohkan skala penghijrahan.

Ia adalah “perbuatan membesar-besarkan untuk berkata jumlah Bengali yang melarikan diri ke Bangladesh adalah amat besar,” laman web memetik beliau sebagai berkata, menggunakan istilah pejoratif untuk Rohingya yang mengelaskan mereka sebagai penghijrah haram.

Sebaliknya, beliau menyalahkan “hasutan dan propaganda” oleh media, yang telah menjadi karung tinju untuk melepaskan kemarahan di Myanmar, negara yang mempunyai majoriti penduduk beragama Buddha di mana tidak timbulnya rasa simpati terhadap Rohingya. – AFP