Jumlah pencari kerja meningkat

Jumlah pencari kerja meningkat

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Feb – Jumlah pencari kerja tempatan tempatan (rakyat Brunei dan penduduk tetap) bagi bulan Disember 2015 telah meningkat kepada 10,640 orang berbanding 10,385 pada November 2015.

Berdasarkan Laporan Bulanan Perangkaan Pencari Kerja Tempatan bagi bulan Disember 2015 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), hari ini, bilangan pencarum baru yang berdaftar di Tabung Amanah Pekerja (TAP) ialah seramai 551 orang, terdiri daripada 26 orang yang bekerja di sektor kerajaan dan 525 orang di sektor swasta.

Secara keseluruhannya, jumlah pencarum yang baru berdaftar di TAP dari bulan Januari hingga Disember 2015 ialah seramai 6,800 orang, dengan seramai 477 orang baru mendaftar sebagai pencari kerja.

Menurut kenyataan JPKE, pihak kerajaan telah melaksanakan beberapa inisiatif bagi meningkatkan penyertaan anak-anak tempatan dalam pasaran kerja di negara ini khususnya di sektor swasta, melalui dua pendekatan.

Pendekatan pertama adalah meningkatkan tahap pengetahuan dan kemahiran anak tempatan lepasan peringkat ‘O’ dan ‘A’ dengan memberikan biasiswa atau latihan seperti Skim Biasiswa Khas, Skim Biasiswa Pendidikan Teknikal dan Vokasional di Institusi Pengajian Swasta Dalam Negeri (BPTV), Skim Biasiswa Pendidikan Teknikal dan Vokasional bagi Program Energy Industry Competency Framework (BPTV-EICF),dan Skim Latihan dan Pekerjaan (SLP).

Kedua pula adalah dengan memberikan lebih banyak peluang-peluang pekerjaan kepada anak tempatan melalui pengurangan kuota pengambilan pekerja-pekerja asing yang berkemahiran rendah.

Laporan bulanan ini bertujuan untuk memberikan anggaran terkini bilangan berserta profil mengenai pencari kerja dalam kalangan penduduk tempatan (rakyat Brunei dan penduduk tetap) yang berumur di antara 18 hingga 59 tahun.

ARTIKEL YANG SAMA