Jumlah pencari kerja meningkat

Jumlah pencari kerja meningkat

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Sept – Bilangan rakyat dan penduduk tetap berumur 18 hingga 59 tahun, yang menganggur bagi bulan Julai 2015 telah meningkat kepada 14,257 orang berbanding 14,065 orang pada Jun 2015.

Menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) di sini, daripada jumlah tersebut seramai 9,703 orang (68 peratus) tinggal di Daerah Brunei Muara; 7,953 orang (56 peratus) terdiri daripada perempuan; 7,578 orang (53 peratus) berumur antara 20 hingga 29 tahun; dan 9,053 orang (64 peratus) mempunyai taraf pendidikan tertinggi di peringkat menengah.

Perangkaan pencari kerja tempatan itu disediakan secara bulanan oleh JPKE, bertujuan untuk memberikan anggaran terkini bilangan berserta profil mengenai rakyat Brunei dan penduduk tetap yang berumur di antara 18 hingga 59 tahun yang tidak mempunyai pekerjaan dan sedang aktif mencari pekerjaan, atau diistilahkan sebagai penganggur.

Sebarang pertanyaan mengenai Perangkaan Pencari Kerja Tempatan ini bolehlah dirujuk ke JPKE dengan menghubungi talian 2230250 atau 2233344 atau melayari laman web www.depd.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA