Jumlah perdagangan bulan Ogos menurun

Jumlah perdagangan bulan Ogos menurun

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Okt – Jumlah Perdagangan bagi bulan Ogos 2015, telah mencatatkan penurunan sebanyak 11.0 peratus kepada $884.9 juta yang terdiri daripada eksport ($585.8 juta) dan import ($299.1 juta).

Imbangan Perdagangan juga menurun bulan ke bulan sebanyak 4.7 peratus kepada $286.7 juta menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), Jabatan Perdana Menteri, hari ini.

Menurut kenyataan itu, eksport barangan bagi bulan Ogos 2015 menurun daripada $647.4 juta kepada $585.8 juta disebabkan penurunan dalam eksport utama negara iaitu Minyak Mentah dan Gas Cecair Asli (LNG).

Eksport Minyak Mentah mencatatkan penurunan sebanyak 6.9 peratus berikutan penurunan purata harga eksport minyak mentah daripada AS$58.91/bbl (Julai 2015) kepada AS$48.00/bbl pada Ogos 2015, walaupun dagangan isi padu Minyak Mentah meningkat daripada 97.6 kbbl sehari (Julai 2015) kepada 108.84 kbbl sehari pada Ogos 2015.

Manakala itu, nilai eksport LNG menurun sebanyak 8.1 peratus, yang disebabkan penurunan dagangan isi padu LNG daripada 887,420 MMBtu sehari (Julai 2015) kepada 770,659 MMBtu sehari (Ogos 2015).

Pasaran eksport terbesar adalah Jepun dengan 40.0 peratus daripada jumlah eksport, diikuti Republik Korea (19.0 peratus), China (8.0 peratus) dan Thailand (7.3 peratus).

Sementara itu, import barangan pula telah menurun sebanyak 13.7 peratus daripada $346.6 juta (Julai 2015) kepada $299.1 juta pada bulan Ogos 2015, dan ini disebabkan penurunan dalam import barang-barang keluaran kilang (31.8 peratus), jentera dan kelengkapan pengangkutan (17.8 peratus) dan pelbagai barang keluaran kilang (13.9 peratus).

Import terbesar adalah dari Malaysia sebanyak 29.2 peratus daripada jumlah import, diikuti Singapura (13.6 peratus), China (11.9 peratus) dan Jepun (7.4 peratus).

Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa (IMTS) bagi Negara Brunei Darussalam menggunakan ‘General System’ bagi merekodkan perangkaan perdagangan yang meliputi import, eksport domestik dan eksport semula.

Laporan penuh IMTS bagi Ogos 2015 boleh didapati melalui laman web JPKE di alamat www.depd.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA