Jumlah perdagangan Malaysia meningkat

Jumlah perdagangan Malaysia meningkat

KUALA LUMPUR, 5 Feb – Jumlah perdagangan Malaysia bagi 2015 meningkat 1.2 peratus kepada RM1.466 trilion, dengan eksport berkembang 1.9 peratus ke paras tertinggi baharu sebanyak RM779.95 bilion dan import naik sedikit 0.4 peratus kepada RM686.65 bilion.

Susulan angka eksport yang lebih baik itu, lebihan perdagangan negara mencatatkan pertumbuhan dua angka 14.3 peratus kepada RM94.29 bilion berbanding RM82.48 bilion pada 2014.

Ini merupakan tahun kesembilan perdagangan melebihi paras RM1 trilion dan tahun ke-18 berturut-turut Malaysia mencatatkan lebihan perdagangan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua Datuk Seri Ong Ka Chuan.

Beliau berkata tahun lepas merupakan tahun mencabar bagi ekonomi global dengan pertumbuhan perlahan di pasaran sedang pesat membangun dan negara-negara membangun manakala negara maju mencatatkan pertumbuhan sederhana.

“Penurunan harga komoditi, terutamanya minyak mentah, turun naik mata wang, kelembapan ekonomi China dan ketegangan geopolitik, semuanya mencetuskan keadaan tidak menentu yang memberi tekanan kepada ekonomi global.

“Malaysia juga terjejas oleh kegawatan ini.

“Walaupun begitu, prestasi perdagangan Malaysia mengatasi unjuran,” kata Ong kepada pemberita di sini, Jumaat, selepas mengumumkan prestasi perdagangan negara bagi 2015. – Bernama