Jumlah perdagangan Sept meningkat

Jumlah perdagangan Sept meningkat

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Nov – Jumlah perdagangan negara bagi bulan September tahun ini telah meningkat sebanyak 29.1 peratus kepada $1,142.8 juta, terdiri daripada eksport ($698.2 juta) dan import ($444.6 juta).

Manakala itu, imbangan perdagangan pula menurun bulan-ke-bulan sebanyak 11.5 peratus kepada $253.6 juta, demikian menurut perangkaan perdagangan antarabangsa yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), Jabatan Perdana Menteri, hari ini.

Menurut JPKE, eksport barangan bagi bulan September 2015 meningkat daripada $585.8 juta kepada $698.2 juta disebabkan peningkatan dalam eksport utama negara iaitu minyak mentah dan gas cecair asli (LNG).

Eksport minyak mentah mencatatkan peningkatan sebanyak 4.4 peratus berikutan peningkatan purata harga eksport minyak mentah daripada AS$48.00/bbl (Ogos 2015) kepada AS$48.03/bbl pada September 2015, dan dagangan isi padu minyak mentah juga meningkat daripada 108.84 kbbl sehari (Ogos 2015) kepada 115.55 kbbl sehari pada September 2015.

Manakala, nilai eksport LNG meningkat sebanyak 29.2 peratus, disebabkan peningkatan dagangan isi padu LNG daripada 770,659 MMBtu sehari (Ogos 2015) kepada 1,034,047 MMBtu sehari (September 2015).

JPKE berkata, pasaran eksport terbesar adalah Jepun dengan 34.2 peratus daripada jumlah eksport, diikuti oleh Taiwan (14.0 peratus), Republik Korea (13.5 peratus) dan Thailand (8.8 peratus).

Sementara itu, import barangan meningkat sebanyak 48.6 peratus daripada $299.1 juta (Ogos 2015) kepada $444.6 juta pada bulan September 2015.

Ini disebabkan oleh peningkatan dalam import jentera dan kelengkapan pengangkutan (153.9 peratus), pelbagai urus niaga (30.8 peratus) dan bahan-bahan kimia (17.5 peratus). Import terbesar adalah dari Amerika Syarikat iaitu sebanyak 33.2 peratus daripada jumlah import, diikuti oleh Malaysia (18.2 peratus), Singapura (12.7 peratus) dan China (7.3 peratus).

Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa (IMTS) bagi Negara Brunei Darussalam menggunakan ‘General System’ bagi merekodkan perangkaan perdagangan yang meliputi import, eksport domestik dan eksport semula.

Laporan penuh IMTS bagi September 2015 boleh didapati melalui laman web JPKE di www.depd.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA