Jumpa anak damit dalam mesin basuh

Jumpa anak damit dalam mesin basuh

YAN, 28 Okt (Bernama) – Seorang warga emas terkejut menjumpai seorang anak damit perempuan yang baru lahir di dalam mesin basuh di rumahnya di Kampung Ulu Dulang Kecil, di sini, malam semalam.

Zainol Hamid, 71, berkata dia terdengar seperti anak damit menangis dari arah bilik air di bahagian dapur rumahnya semasa menonton televisyen kira-kira pukul 10.30 malam.

“Pada awalnya, saya ingatkan bunyi hantu kerana tiada anak damit dalam rumah. Semua cucu saya sudah besar. Saya beranikan diri mencari bunyi tersebut dan terkejut apabila menemui anak damit tersebut kemudian,” katanya kepada pemberita hari ini.

Zainol berkata anak damit itu tidak berpakaian dan masih bertali pusat serta dalam keadaan sihat semasa ditemui.

Katanya anak damit seberat dua kilogram lebih itu menangis mungkin kerana kesejukan.

“Saya panggil anak saudara yang tinggal berhampiran untuk mengeluarkan anak damit itu kerana takut. Anak saudara saya kemudian membuat laporan polis dan anak damit itu dihantar ke Hospital Yan untuk rawatan lanjut,” kata Zainol.

Katanya dia percaya orang yang membuang anak damit itu memasuki rumahnya melalui pintu belakang yang tidak berkunci.

Ketua Polis Daerah Yan DSP Muhamad Halim Yatim mengesahkan menerima laporan penemuan anak damit itu pada pukul 10.44 malam yang sama.

ARTIKEL YANG SAMA