Junior FT tewaskan DSP United 4-1

Junior FT tewaskan DSP United 4-1

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Mac – Pertembungan ‘buku dengan ruas’ antara dua juara kumpulan belum terkalahkan yang dijangkakan sengit telah menghasilkan keputusan berat sebelah apabila Al-Idrus Junior FT mencatat kemenangan 4-1 ke atas DSP United FC.

Perlawanan pertama “Pusingan Akhir Tiga Penjuru” Liga Bolasepak Daerah Brunei & Muara 2015 pada malam minggu di Kompleks Sukan Sungai Kebun (KSSK) antara juara Kumpulan C, DSP United FC dengan juara Kumpulan B, Al-Idrus Junior FT itu menyaksikan Al-Idrus Junior FT mendahului 4-0.

Mohd Isa bin Haji Bahar meledakkan dua jaringan pada separuh masa pertama iaitu pada minit ke-9 dan ke-23 untuk memacu Al-Idrus Junior FT di depan pada kedudukan 2-0 sehingga rehat.

Sapuan bin Johar kemudiannya menjaringkan gol ketiga Al-Idrus Junior FT 13 minit selepas rehat untuk terus mengejutkan DSP United FC yang nampak kehilangan punca.

Keadaan terus menjadi tidak menentu buat DSP United FC apabila gawangnya dibolosi lagi pada minit ke-64, kali ini dijaringkan oleh Mohd Amirul Salihan bin Jufri untuk memberikan Al-Idrus Junior FT kelebihan empat gol di depan tatkala perlawanan masih berbaki 26 minit.

Al-Idrus Junior FT setapak lagi mengesahkan kejuaraan Liga Bolasepak Daerah Brunei & Muara 2015 menjadi miliknya apabila menang 4-1 ke atas DSP Utd FC.
Al-Idrus Junior FT setapak lagi mengesahkan kejuaraan Liga Bolasepak Daerah Brunei & Muara 2015 menjadi miliknya apabila menang 4-1 ke atas DSP Utd FC.

DSP United FC kelihatan mula menemui rentak dan sentuhan golnya apabila Mohd Faizal bin Ahad akhirnya memecah kebuntuan pasukannya pada minit ke-68 untuk mendekatkan kedudukan kepada 1-4.

Namun gol yang dilihat mampu menyuntik semangat kebangkitan DSP United FC itu sekadar menjadi gol saguhati apabila tiada lagi jaringan berjaya dihasilkan kedua-dua pasukan untuk perlawanan ditamatkan pada kedudukan 4-1 memihak Al-Idrus Junior FT.

Jadual pusingan akhir Liga Bolasepak Daerah Brunei & Muara 2015 yang dijalankan secara format liga satu pusingan itu akan diteruskan lagi malam ini di tempat yang sama, KSSK, dengan juara Kumpulan A, MSN United FC lawan DSP United FC, bermula pukul 8:15 malam.

Perlawanan terakhir pusingan akhir berkenaan pula dijadualkan berlangsung pada 9 Mac antara MSN United FC dengan Al-Idrus Junior FT, juga di KSSK bermula pukul 8:15 malam.

ARTIKEL YANG SAMA