Junjung ziarah saudara baru pada Hari Raya ke-4

Junjung ziarah saudara baru pada Hari Raya ke-4

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Julai – Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama akan mengungkayahkan Majlis Junjung Ziarah Hari Raya Aidilfitri Saudara-saudara Baru Senegara ke Istana Nurul Iman dan ke kediaman orang-orang kenamaan bagi tahun 1436H/2015M pada Hari Raya keempat, yang jatuh pada 21 Julai ini.

Seramai 550 orang saudara baru dari keempat-empat daerah dijangka menyertai rombongan junjung ziarah tersebut.

Menurut kenyataan Pusat Dakwah Islamiah, rombongan berkenaan akan diketuai oleh Pengarah Pusat Dakwah Islamiah, Hajah Siti Azizah binti Haji Musa.

Dijangka turut serta ialah Pemangku Penolong Pengarah Pusat Dakwah Islamiah dan pegawai-pegawai serta kakitangan Pusat Dakwah dan Unit Dakwah Daerah-daerah.

Sejurus selesai mengadakan Majlis Junjung Ziarah di Istana Nurul Iman, rombongan saudara-saudara baru itu akan dibahagikan kepada lima kumpulan bagi membuat kunjungan berhari raya ke kediaman orang-orang kenamaan.