Junta Thai serah kuasa pada 2017

Junta Thai serah kuasa pada 2017

BANGKOK, 23 Dis (Reuters) – Perdana Menteri Thailand dan pemimpin junta Prayuth Chan-ocha menyampaikan ucapan akhir tahun hari ini di mana beliau menekankan junta akan menyerah kuasa pada 2017 dan ia sedang memasuki “fasa kedua” pelan pembaharuannya.

Junta, atau Majlis Nasional untuk Keamanan dan Ketenteraman, merampas kawalan pada Mei 2014 dan mengguling kerajaan dipilih, menamatkan bantahan di Bangkok yang dipimpin oleh kelas pertengahan dan elit yang mahu menghapus kerajaan awam pimpinan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra.

Sejak itu, ia telah sibuk merangka satu perlembagaan baru dan pembaharuan yang dikatakan oleh pengkritik bertujuan mengehadkan kuasa parti politik dan meneutralkan mereka yang dilihat setia kepada bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra, abang Yingluck yang disingkirkan pada 2006.

Junta berkali-kali menangguhkan pilihan raya yang telah dirancang, mendakwa negara masih belum cukup stabil untuk mengadakan pilihan raya.

Prayuth berkata junta masih berpegang pada rancangannya untuk menyerah balik kuasa pada 2017.

Gambar fail bertarikh 1 September 2015 menunjukkan Perdana Menteri Thai Prayuth Chan-ocha (tengah) ketika tiba di Rumah Kerajaan di Bangkok, Thailand.
Gambar fail bertarikh 1 September 2015 menunjukkan Perdana Menteri Thai Prayuth Chan-ocha (tengah) ketika tiba di Rumah Kerajaan di Bangkok, Thailand.

“Kami mempunyai satu tahun dan enam bulan tinggal bermula Januari 2016 hingga Julai 2017 dan kerajaan akan menetap asas untuk perkara yang tidak dilakukannya dan jika ia tidak menyempurnakannya mereka akan diletak dalam pelan pembaharuan,” katanya dalam satu ucapan.

“Kami sedang memasuki fasa kedua sekarang.”

Kerajaan tentera, dipimpin oleh perancang rampasan kuasa Prayuth, telah mematahkan tentangan dan telah bertindak keras ke atas pengkritik kerajaan berperlembagaan dengan menggunakan undang-undang penghinaan keluarga diraja untuk menahan berpuluh orang, sekali gus mencetuskan kritikan daripada kumpulan hak, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan kerajaan Barat.

Sembilan belas bulan selepas rampasan kuasa, ia bergelut untuk memulihkan ekonomi Thailand yang bergantung pada eksport.

Meskipun mengumumkan perbelanjaan besar untuk projek jalan raya dan perkhidmatan kereta api, permintaan domestik masih lemah dan hutang keluarga yang tinggi sedang menjejas ekonomi kedua terbesar Asia Tenggara.

Junta terus memegang kuasa menyeluruh di bawah langkah keselamatan khas yang membenarkan anggota keselamatan untuk membuat penangkapan tanpa waran mahkamah dan menahan orang tanpa dakwaan.

Prayuth menyebut tuduhan penyalahgunaan hak dalam ucapannya berkata bukan kesilapannya jika penentang mencabul perintah keselamatan.