Jurang pembiayaan perdagangan global cecah AS$1.6t

Jurang pembiayaan perdagangan global cecah AS$1.6t

SINGAPURA, 7 Sept – Ketidakmampuan institusi kewangan untuk menyediakan AS$1.6 trilion bagi menyokong pembeli dan penjual barangan merentas pelbagai negara, menyebabkan berlaku halangan dalam pertumbuhan serta mengehadkan peluang pekerjaan pada 2015.

Perkara ini dinyatakan dalam ringkasan Tinjauan Bank Pembangunan Asia (ADB) di sini hari ini.

Jurang pembiayaan perdagangan global bagi pembangunan Asia berjumlah AS$692 bilion, termasuk India dan China.

Dalam kajian baharu ini, Jurang Pembiayaan Perdagangan, Pertumbuhan dan Tinjauan Pekerjaan ADB 2016, meninjau jurang kuantiti pasaran bagi pembiayaan perdagangan dan kesannya ke atas pertumbuhan dan pekerjaan melibatkan lebih 337 bank di 114 negara dan 791 syarikat di 96 negara.

Kaji selidik tahunan imi kini memasuki edisi tahun keempat. “Pertumbuhan jurang pembiayaan perdagangan pada 2015 terus mengheret perdagangan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang merupakan kelompok yang paling teruk terjejas,” kata Ketua Program Pembiayaan Perdagangan ADB, Steven Beck.

Beliau berkata Program Pembiayaan Perdagangan ADB sudah bersedia untuk membantu negara anggota dan bank pelanggannya di semua kawasan.

Laporan ADB itu menekankan bahawa jurang pembiayaan perdagangan terus berlaku disebabkan oleh kos dan kerumitan dalam pematuhan peraturan perbankan, dengan 90 peratus bank yang ditinjau memetik anti-Pengubahan wang haram dan mengenali keperluan pelanggan, sebagai halangan kepada keupayaan mereka untuk mengembangkan pembiayaan perdagangan, terutama untuk perniagaan kecil. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA