Jurgen Klopp idam kemenangan

Jurgen Klopp idam kemenangan

LIVERPOOL, 25 Okt (Agensi) – Kehadiran Jurgen Klopp sebagai pengurus Liverpool mencipta satu fenomena kepada penyokong dan media namun beliau masih lagi belum menunjukkan sebarang peningkatan prestasi kecuali hanya sebagai pakar seri.

Enam daripada lapan perlawanan menyaksikan mereka hanya mencatat keputusan seri dan ia meningkat kepada tujuh jika dikira sekali melalui kemenangan ke atas pasukan League Two, Carlisle menerusi sepakan penentuan penalti selepas terikat 1-1 dalam tempoh 120 minit.

Kebimbangan terhadap Klopp turut dirasai menjelang perlawanan ketiga di laman sendiri bertemu Southampton dalam aksi Liga Perdana Inggeris hari ini berikutan anak buahnya kelihatan tumpul di bahagian serangan.

Selepas seri tanpa jaringan di Tottenham, Sabtu lalu dianggap sebagai permulaan cemerlang bekas pengurus Borussia Dortmund itu, namun seri 1-1 di Liga Europa kepada Rubin Kazan yang beraksi dengan 10 pemain dilihat sebagai mengecewakan.

Gambar fail bertarikh 22 Oktober 2015 menunjukkan Jurgen Klopp (dua dari kanan) tatkala perlawanan Liverpool menentang pasukan Rubin Kazan dalam Liga Europa UEFA di Anfield, Liverpool. – AFP
Gambar fail bertarikh 22 Oktober 2015 menunjukkan Jurgen Klopp (dua dari kanan) tatkala perlawanan Liverpool menentang pasukan Rubin Kazan dalam Liga Europa UEFA di Anfield, Liverpool. – AFP

“Setengah pemain seperti tidak ada idea dan tertanya-tanya dalam diri mereka sendiri bila waktu sesuai untuk melakukan rembatan. Kita harus melakukan keputusan yang tepat apabila berada dalam petak penalti namun saya baru saja berada di sini dan saya rasa ia perkara normal,” kata Klopp.

Prestasi Liverpool ketika menentang wakil Rusia itu dilihat kurang bermaya berbanding bertemu Tottenham dan mereka perlu lebih bertenaga kerana itulah yang membuatkan Klopp disegani ketika bersama bekas kelabnya.

Klopp tidak banyak mendapat bantuan pada aksi awal termasuk kekurangan pilihan untuk bahagian serangan. Christian Benteke pula tidak dapat beraksi dalam tempoh sebulan kerana mengalami kecederaan hamstring, Roberto Firmino juga berehat dalam tempoh sama akibat sakit belakang sementara Daniel Sturridge terlepas dua perlawanan sebelum ini kerana cedera lutut.

ARTIKEL YANG SAMA