Jurnalis terkenal maut, kereta dibom

Jurnalis terkenal maut, kereta dibom

KIEV, 20 Julai – Sebuah kereta meletup di tengah Kiev awal hari ini dan membunuh jurnalis pro-Barat terkenal, Pavel Sheremet, dengan presiden yang negaranya dilanda krisis itu menuntut dalangnya dibawa kepada keadilan.

Lelaki berusia 44 tahun itu berasal dari Belarus namun seorang warga Rusia yang bekerja bagi Ukrainska Pravda, sebuah laman berita bebas, maut apabila kereta yang dinaikinya meletup.

Kereta yang hangus terbakar dengan semua pintunya terbuka di sebatang jalan masih lagi dalam kepungan polis ketika para penyiasat sedang menjalankan siasatan di tempat kejadian, kata jurnalis AFP yang berada di sana.

“Kematian Pavel Sheremet adalah berpunca daripada peranti bahan letupan. Ia adalah satu kes pembunuhan,” kata Pendakwa Raya Yuriy Lutsenko dalam Facebooknya.

Presiden Petro Poroshenko menggambarkan kematian itu sebagai satu ‘jenayah’ dan ‘tragedi teruk’ dengan berkata ‘pesalah perlu dihukum’.

Pegawai polis Ukraine dan pakar perkhidmatan keselamatan memeriksa kereta jurnalis Pavel Sheremet yang rentung, selepas dia terbunuh dalam letupan kereta di Kiev pada 20 Julai. – AFP
Pegawai polis Ukraine dan pakar perkhidmatan keselamatan memeriksa kereta jurnalis Pavel Sheremet yang rentung, selepas dia terbunuh dalam letupan kereta di Kiev pada 20 Julai. – AFP

Kementerian dalam negeri menggelar pembunuhan Sheremet itu satu ‘pembunuhan kejam’ yang bertujuan untuk menyahstabilkan negara itu.

Seorang pembantu kepada menteri dalam negeri Zoryan Shkiryak berkata dalam Facebook bahawa bahan letupan itu dipercayai bersamaan dengan 400 hingga 600g TNT, kemungkinan diletupkan menggunakan alat kawalan atau penentu masa.

“Semua kemungkinan senario mengenai jenayah kejam ini diambil kira,” kata Shkiryak, menambah bahawa pakar bahan letupan sedang bekerja di tempat kejadian.

Seorang pemandu teksi, Petro, memberitahu AFP bahawa Sheremet ‘sedang memandu di sepanjang jalan Ivana Franka dan berhenti di tempat membelok dan kemudian letupan meledak. Api dan asap kebakaran dari cermin depan menjulang tinggi kira-kira ke paras tingkat dua bangunan.

“Kami berkejar ke kereta itu dan membuka pintunya, dia terdampar di lantai dan merintih. Dia dalam sakit kekejutan, kakinya kelihatan putus,” kata pemandu itu.

Menurutnya, saksi-saksi menelefon ambulans dan mula mengheretnya jauh kerana kereta itu semakin terbakar besar. Sheremet tidak dapat bercakap hanya merintih dalam kesakitan. Apabila ambulans datang, dia masih lagi bernyawa. – AFP