Jurugambar HK bawa jaket kalis peluru dibicarakan

Jurugambar HK bawa jaket kalis peluru dibicarakan

SAMUT PRAKAN, Thailand, 12 Okt – Seorang jurugambar warga Hong Kong yang ditahan kerana membawa jaket kalis peluru dan helmet di Thailand hari ini akan berdepan dengan perbicaraan selepas mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan memiliki senjata.

Kes itu telah mencetuskan tentangan keras dari kumpulan kebebasan media yang mengatakan wartawan seharusnya tidak dihukum kerana membawa perisai badan dan peralatan perlindungan masuk dan keluar dari zon berbahaya.

Kwan, yang bekerja untuk kumpulan media Initium yang beribu pejabat di Hong Kong, ditahan pada 23 Ogos selepas cuba berlepas dari lapangan terbang Suvarnabhumi, Bangkok bersama jaket kalis peluru dan helmet yang disimpan dalam bagasi tangannya.

Kedua-dua barangan itu dikelaskan sebagai senjata di bawah undang-undang Thailand dan Kwan didakwa mencabuli Akta Kawalan Senjata negara itu – yang boleh membawa hukuman penjara lima tahun.

Dia berada di Thailand untuk membuat liputan selepas kejadian pengeboman di Bangkok pada Ogos lalu.

Anthony Kwan Hok-chun ketika tiba di mahkamah wilayah Samut Prakan, Thailand pada 12 Oktober. – AFP
Anthony Kwan Hok-chun ketika tiba di mahkamah wilayah Samut Prakan, Thailand pada 12 Oktober. – AFP

Kwan memberitahu para pemberita hari ini selepas perbicaraan di mahkamah wilayah Samut Prakhan, dekat Bangkok, bahawa dia telah didakwa.

“Saya tidak membuat pengakuan. Saya kira jaket itu bukanlah senjata dan saya pasti saya tidak tahu ia melanggar undang-undang di sini.”

Akuannya itu bermakna dia akan berdepan perbicaraan bermula bulan depan. Mahkamah telah mengizinkan Kwan diikat jamin tetapi perintah hari ini dijangkakan sama ada dia bebas meninggalkan Thailand.

Kwan menambah kata, “Saya berpendapat semua orang yang berada dalam situasi saya akan sedikit bimbang. Saya bersiap sedia bagi keadaan teruk tetapi mengharapkan yang baik.”

Pengelasan peralatan perlindungan Thailand sebagai senjata yang memerlukan lesen telah dikritik oleh kumpulan media yang mengatakan peralatan itu penting bagi para pemberita di sebuah negara yang mana keganasan politik kerap tersebar hingga ke jalan raya.

Sebelum perbicaraan hari ini, Kelab Wartawan Asing Thailand mengeluarkan kenyataan untuk melahirkan rasa kecewa dengan pendakwaan ke atas Kwan.

“Pihak berkuasa Thailand seharusnya berunding dengan masyarakat media – untuk meneliti caranya undang-undang 1987 yang pastinya tidak dihasratkan untuk mendakwa para wartawan yang melaksanakan tugas biasa mereka, menurut kenyataan itu. – AFP