Jurugambar Hong Kong ditahan bawa perisai badan

Jurugambar Hong Kong ditahan bawa perisai badan

BANGKOK, 24 Ogos (Bernama) – Kelab Koresponden Asing Thailand (FCCT) menggesa pihak berkuasa Thai bekerjasama dengan komuniti media di negara itu untuk tidak menjadikan penggunaan sah perisai badan dan peralatan perlindungan yang lain sebagai satu jenayah.

Ini berikutan penangkapan penduduk Hong Kong, Hok Chun ‘Anthony’ Kwan, yang ditugaskan oleh Initium Media Technology minggu lepas bagi membuat liputan kesan kejadian letupan bom di Kuil Erawan.

Dia ditahan di Lapangan Terbang Suvarnabhumi pada Ahad ketika hendak menaiki penerbangan balik ke Hong Kong dan dia didakwa kerana memiliki senjata haram.

Kesalahan itu membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan kes berkenaan akan dibicarakan di mahkamah tentera.

“Perisai badan dan topi keledar yang digunakan oleh para wartawan bukanlah senjata untuk menyerang dan ia tidak boleh dianggap seperti itu,” kata FCCT.

FCCT sebelum ini sudah meminta pihak berkuasa Thai untuk menangani isu ini supaya wartawan boleh membeli, mengimport dan membawa peralatan perlindungan secukupnya.

“Kes Anthony Kwan membuka peluang kini untuk mencari jalan penyelesaian,” kata FCCT.

Kwan didakwa mengikut Akta Kawalan Senjata 1987, yang melarang pemilikan senjata ketenteraan tanpa lesen.

Bagaimanapun, FCCT berkata penggunaan perisai badan dan topi keledar merupakan rutin bagi wartawan di seluruh dunia bagi membolehkan mereka melakukan tugas dalam situasi berbahaya. Kematian dua wartawan asing di Bangkok dalam kejadian tembakan ketika pergolakan politik pada 2010 menekankan keperluan perlindungan seperti ini, katanya.

Wartawan berpangkalan di Bangkok memakai perisai badan secara terbuka semasa pergolakan politik baru-baru ini tanpa sebarang tindakan diambil ke atas mereka oleh pihak berkuasa Thai, kata kelab itu.

“Kini, ia merupakan keperluan bagi organisasi media besar bahawa wartawan mereka membawa perisai badan dan topi keledar ke persekitaran yang berpotensi berisiko,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA