Jurulatih Jordan digantung

Jurulatih Jordan digantung

AMMAN, Jordan, 23 Dis (AFP) – Persekutuan Bola Sepak Jordan (JFA) menggantung jurulatih kebangsaannya, Paul Put, sementara menunggu ‘penjelasan’ terhadap hukuman penjara di negara kelahirannya, Belgium atas kesalahan mengatur perlawanan.

Pengendali kelahiran Belgium berusia 59 tahun itu membuat rayuan di mahkamah, minggu lalu terhadap hukuman dua tahun penjara serta arahan penahanan serta-merta terhadap dirinya.

Put didapati bersalah kerana membenarkan ahli perniagaan China memberi suapan kepada pemainnya ketika dia bertugas sebagai jurulatih di Lierse, menurut agensi berita, Belga.

Badan induk bola sepak Jordan memutuskan menggantung serta merta terhadap jurulatih kebangsaannya sementara menunggu penjelasan tertangguh atas situasi perundangan dalam usaha menunggu keputusan akhir,” kata JFA menerusi satu kenyataan.

Put adalah seorang daripada sedozen pengurus, pemain serta ejen yang didakwa terbabit dengan skandal mengatur perlawanan besar-besaran yang berlaku pada tahun 2004 hingga 2006.

Dia pada awalnya dikenakan penggantungan selama dua tahun, namun mahkamah rayuan mengarahkannya menjalani hukuman penjara. Put sebelum ini menjalani penggantungan selama tiga tahun disebabkan skandal itu.

Begitupun, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) tidak melaksanakan hukuman itu secara menyeluruh yang membenarkan Put berpindah ke Afrika untuk melatih pasukan kebangsaan Gambia dan Burkina Faso sebelum dinamakan jurulatih Jordan, Jun lalu.