Jurulatih OM letak jawatan

Jurulatih OM letak jawatan

MARSEILLE, 9 Ogos (AFP) – Marcelo Bielsa mengejutkan arena bola sepak Perancis, apabila mengumumkan meletak jawatan sebagai jurulatih pasukan Olympic Marseille (OM), beberapa minit selepas skuadnya itu kalah 1-0 kepada Caen dalam aksi pembukaan liga, semalam.

“Saya meletak jawatan sebagai pengurus Marseille,” umum pembimbing kelahiran Argentina itu dalam sidang media selepas perlawanan liga berkenaan.

Bielsa, 60, yang bersama pasukan itu sejak 2014 sebelum ini dikaitkan untuk dilantik sebagai pengurus pasukan kebangsaan Mexico.

“Saya sudah selesaikan kerja saya di sini. Saya akan kembali ke negara saya,” kata Bielsa yang berjaya membantu bekas juara Eropah itu menduduki tangga keempat liga Perancis musim lalu.

Keputusan Bielsa itu dikaitkan dengan perasaan tidak puas hati beliau berhubung terma kontraknya yang disemak semula.

Marcelo Bielsa membuat keputusan mengejut apabila meninggalkan Olympic Marseille (OM), semalam. – Reuters
Marcelo Bielsa membuat keputusan mengejut apabila meninggalkan Olympic Marseille (OM), semalam. – Reuters

“Saya sedih dan kecewa. Saya tidak boleh menerima keadaan tidak stabil di dalam kelab,” kata Bielsa, yang menuduh kelab membuat perubahan minit terakhir untuk butiran kontrak yang beliau sedia tandatangani untuk lanjutan bersama Marseille sehingga 2017.

Bielsa menyerahkan kepada jurubahasa untuk membacakan frasa utama surat peletakan jawatan yang dihantar kepada Presiden Marseille Vincent Labrune.

“Kami telah mencapai persetujuan mengenai lanjutan kontrak untuk 2016-2017, yang hilang hanya tandatangan,” tulis beliau dalam suratnya.

Bielsa berkata beliau telah bertemu dengan ketua eksekutif kelab Philippe Perez dan Igor Levin, peguam pemilik Marseille Margarita Louis Dreyfus.

ARTIKEL YANG SAMA