Jurulatih perlu berfikiran terbuka

Jurulatih perlu berfikiran terbuka

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jan – Jurulatih bola sepak di negara ini diseru supaya berfikiran terbuka dengan teknik dan gaya yang berbeza-beza supaya suatu hari nanti NFABD mampu melahirkan jurulatih kecergasan yang berkelayakan dan bermutu.

Harapan itu diutarakan oleh Setiausaha Agung NFABD, Haji Muhd Zamri bin Dato Paduka Haji Hamdani dalam ucapan beliau hari ini sempena majlis penutup dan penyampaian sijil kepada 30 peserta Kursus Kecergasan FIFA yang bermula 11 Januari lalu.

Menurut beliau lagi, latihan bola sepak merupakan elemen utama permainan masa kini, dengan pemain profesional memerlukan tahap kecergasan bertaraf sangat tinggi bagi mengekalkan tempat mereka di dalam pasukan untuk tempoh 90 minit.

“Pemain perlu melihat semua sudut untuk memperbaiki permainan kerana menumpukan kepada kemahiran di atas padang adalah kesilapan besar. Masa berkualiti perlu diperuntukkan bagi mempertingkat keseluruhan kekuatan dan kecergasan demi memperbaiki ketahanan dan kemampuan pemain sepanjang perlawanan,” tegas beliau.

Haji Muhd Zamri (kiri) dan Fritz Scmids (tengah) ketika menyampaikan sijil kepada Awang Zainuddin.
Haji Muhd Zamri (kiri) dan Fritz Scmids (tengah) ketika menyampaikan sijil kepada Awang Zainuddin.

Dalam ucapannya juga, Haji Muhd Zamri percaya bahawa dengan sokongan FIFA menerusi kursus seumpamanya, jurulatih tempatan akan mendapat faedah yang jarang didapati di negara ini.

Sementara itu, Instruktor FIFA Fritz Scmids yang juga Pengarah Teknikal Persekutuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan turut menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta, mengingatkan jurulatih bahawa untuk maju ke tahap lebih tinggi, mereka perlu melangkah sejauh mungkin ke depan sebelum pemain masuk padang.

“Pertingkatkan kualiti dan intensiti masing-masing, buat adunan bahan-bahan tersendiri dan rekalah resipi sendiri,” nasihat beliau kepada para jurulatih supaya berterusan memajukan diri hingga ke tahap lebih tinggi dari semasa ke semasa.