Jurulatih perlu komited cari bakat muda

Jurulatih perlu komited cari bakat muda

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jan – Jurulatih di negara ini perlu komited, proaktif, bersedia dan sanggup berkorban masa untuk mencari bakat muda di peringkat akar umbi bagi melahirkan pemain muda berbakat untuk menyertai kejohanan bola sepak serantau dan antarabangsa.

Perkara tersebut antara yang difokuskan oleh EXCO NFABD, Awang Rosdin bin Haji Abdul Aziz ketika membuka rasmi Kursus Kejurulatihan Bolasepak Akar Umbi FIFA 2016 yang diadakan di NFABD House hari ini, yang disertai seramai 27 orang peserta.

Beliau mengucapkan tahniah kepada para peserta kerana berpeluang mengikuti kursus yang merupakan satu peluang keemasan yang semestinya dimanfaatkan sebaiknya apatah lagi instruktor yang memudahcara kursus iaitu Datuk Yap Nyim Keong merupakan seorang Instruktor FIFA yang memang cukup berpengalaman luas dan bertaraf FIFA. Awang Rosdin berharap semua peserta akan menggunakan peluang-peluang yang ada di NFABD dari semasa ke semasa sebagai jurulatih atau penolong jurulatih untuk pasukan bola sepak peringkat akar umbi.

Para peserta Kursus Kejurulatihan Akar Umbi FIFA bersama Awang Rosdin (duduk 5 dari kanan) dan Datuk Yap Nyim Keong (duduk 4 dari kanan).
Para peserta Kursus Kejurulatihan Akar Umbi FIFA bersama Awang Rosdin (duduk 5 dari kanan) dan Datuk Yap Nyim Keong (duduk 4 dari kanan).

Kursus berkenaan akan berjalan selama lima hari bermula hari ini sehingga 30 Januari nanti yang meliputi sesi teori dan amali termasuk terlibat dalam pengendalian Festival Akar Umbi Kebangsaan NFABD 2016 anjuran NFABD pada 30 Januari ini di Padang ‘Turf’ NFABD, NFABD House.

Festival tahunan untuk kanak-kanak berusia 6-12 tahun dari sekolah-sekolah terpilih itu akan menjadi medan buat peserta kursus mengaplikasikan ilmu perolehan daripada kursus dalam suasana pesta.

Sehubungan dengan pesta yang bakal berlangsung berkenaan, NFABD mengalu-alukan orang ramai terutama sekali ibu bapa dan penjaga kanak-kanak yang terlibat untuk hadir menyaksikannya dalam sama-sama memeriahkan lagi suasana festival berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA